
BAU: Polis menahan seorang lelaki berusia 21 tahun bagi membantu siasatan kes amang seksual melibatkan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun, manakala satu lagi kes kecurian kamera CCTV di Pejabat Pos Bau turut sedang disiasat.
Ketua Polis Daerah Bau Mohd Haide Bin A Rahman berkata, pihak polis menerima laporan daripada mangsa pada 9 Mac sekitar 3.56 petang.
Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Kesalahan Seksual Terhadap Kanak Kanak 2017.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku pada bulan November 2025 sekitar 2.00 petang di sebuah rumah di Kampung Kranji, Jalan Bau Kuching.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa yang berumur 16 tahun enam bulan dan merupakan pelajar Tingkatan Lima di Kuching berkenalan dengan suspek melalui aplikasi TikTok pada November 2025,” katanya.
Beliau berkata selepas beberapa hari berkenalan, suspek telah mengajak mangsa ke rumah keluarganya di Kampung Kranji, Bau.
“Apabila sampai di rumah tersebut, tiada sesiapa di rumah. Suspek kemudian mengajak mangsa masuk ke bilik tidur dan kejadian tersebut berlaku di dalam bilik itu sebelum suspek menghantar mangsa pulang ke rumah,” katanya.
Mohd Haide berkata, mangsa kemudian memutuskan hubungan dengan suspek pada Disember 2025.
Pada 3 Februari tahun ini sekitar 10.30 pagi, mangsa mendapatkan rawatan di Klinik Kota Sentosa kerana muntah dan demam sebelum dirujuk kepada pakar Obstetrik dan Ginekologi di Hospital Umum Sarawak.
“Pemeriksaan perubatan mengesahkan mangsa mengandung tiga bulan. Suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan akan direman bagi membantu siasatan. Suspek juga akan dirujuk ke hospital untuk mendapatkan sampel darah,” katanya.
Dalam kes berasingan, Mohd Haide berkata polis turut menyiasat kecurian kamera CCTV di Pejabat Pos Bau di Jalan Selamat.
Beliau berkata laporan dibuat oleh pengurus cawangan Pos Malaysia Bau pada 9 Mac sekitar 8.57 pagi selepas mendapati salah satu paparan monitor CCTV tidak berfungsi.
“Semakan rakaman CCTV mendapati 4.26 pagi, 8 Mac, seorang individu memakai topeng dilihat mencuri kamera CCTV tersebut,” katanya.
Pemeriksaan lanjut di luar pejabat mendapati wayar kamera CCTV telah dipotong dan kamera tersebut telah hilang.
“Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati pintu pagar utama dalam keadaan berkunci dengan baik. Namun terdapat lubang di bahagian pagar belakang dan di sebelah kanan berhampiran laluan masuk ke kawasan menara,” katanya.
Beliau berkata tiada saksi di tempat kejadian dan tiada pengawal keselamatan bertugas ketika kejadian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan polis sedang berusaha mengenal pasti suspek serta mengesan barang yang dicuri.
Oleh Connie Chieng