
MALUDAM: Persiapan bagi penganjuran program Jelajah Eksplorasi Maludam Siri 3 terus diperkemas menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Jelajah Eksplorasi Maludam yang berlangsung di Perpustakaan Desa Maludam, hari ini.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor dengan penglibatan ahli jawatankuasa penganjur, wakil agensi kerajaan, pihak Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta agensi berkaitan.
Dalam mesyuarat itu, pelbagai perkara penting dibincangkan termasuk perkembangan semasa penganjuran program serta penyelarasan tugas bagi memastikan setiap jawatankuasa dapat melaksanakan peranan masing-masing secara lebih sistematik.
Menurut Dayang Noorazah, mesyuarat berkenaan menjadi platform penting untuk memastikan semua perancangan berkaitan Jelajah Eksplorasi Maludam berjalan lancar dan menepati jadual yang telah ditetapkan.
Katanya, program tersebut bukan sahaja bertujuan mempromosikan aktiviti riadah dan rekreasi, malah mampu mengeratkan hubungan masyarakat serta memperkenalkan keunikan kawasan Maludam kepada masyarakat luar.
Selain itu, mesyuarat turut meneliti pengesahan minit mesyuarat terdahulu serta laporan anggaran peruntukan setiap jawatankuasa kerja bagi memastikan pengurusan kewangan dan logistik dilaksanakan secara teratur.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa, wakil agensi serta pihak yang terlibat atas komitmen dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program berkenaan demi manfaat komuniti setempat.
Oleh Adi Safarman