Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • MAHKAMAH
  • Dua rakaman didakwa ucapan Muhyiddin dikemuka kepada mahkamah
  • MAHKAMAH

Dua rakaman didakwa ucapan Muhyiddin dikemuka kepada mahkamah

Utusan Sarawak 9 hours ago
BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

KUALA LUMPUR: Rakaman audio dan video didakwa sebagai ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin dipaparkan pada hari pertama perbicaraan kes bekas Perdana Menteri itu, yang berdepan tujuh pertuduhan menyalahgunakan kedudukan serta pengubahan wang haram di Mahkamah Tinggi di sini.

Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Syawaludin Said, 37, berkata kedua-dua rakaman, masing-masing pada 16 Januari dan 26 Julai 2025, ialah mengenai penafian Muhyiddin menerima rasuah dan menyalahgunakan kuasa selain beliau tidak menerima wang sebaliknya ia dimasukkan ke dalam akaun parti Bersatu.

“Kedua-dua kandungan itu dimuat naik oleh pengguna TikTok bernama @puterishantek dan @wanhadi21 dan saya diminta oleh Pegawai Penyiasat Mazery Mohd Zaini untuk memuat turun rakaman audio dan tangkap layar video sebelum menyimpannya di pemacu pena,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal.

Menerusi transkripsi audio daripada akaun @puterishantek, saksi pendakwaan pertama itu memaklumkan beliau mendengar suara lelaki berkata: “Tuduhan pada saya, saya terima rasuah!” termasuk ayat bersifat penafian iaitu “Mana saya terima, Wallahi satu sen pun tak masuk poket saya, ia masuk pada parti!”

Transkripsi daripada akaun @wanhadi21 pula menyatakan “Nak cerita saya tidak berasuah! Yang saya hadapi tuduhan bukan kerana saya rasuah. Parti saya dapat duit. Dia tuduh saya ambil duit”. 

Wan Nur Iman: Bagaimana Encik Syawal sahkan itu adalah suara Tan Sri Muhyiddin?

Mohd Syawaludin: Saya sahkan kerana Tan Sri Muhyiddin pernah menjadi Perdana Menteri Malaysia kelapan pada tahun 2020 hingga 2021, dan saya cam suara itu adalah suara beliau.

Menjawab soalan peguam Datuk Amer Hamzah Arshad, yang mewakili Ahli Parlimen Pagoh itu, sama ada saksi berkenaan menyiasat dan mengesan kedua-dua pemilik TikTok, Mohd Syawaludin berkata beliau tidak membuat demikian kerana tiada arahan daripada pegawai penyiasat.

Amer Hamzah: Jadi, siapa yang memasukkan kapsyen, lokasi dan tanda pagar dalam video tersebut?

Mohd Syawaludin: Tidak pasti.

Saksi itu juga berkata beliau tidak mengenali pemilik akaun @puterishantek dan @wanhadi21.

Amer Hamzah: Adakah Encik Syawal pernah mendengar tentang AI?

Mohd Syawaludin: Ya.

Amer Hamzah: Jika anda tidak menyiasat kesahihannya, bolehkah anda tahu sama ada ini dijana AI atau tidak.

Mohd Syawaludin: Saya tidak boleh.  

Muhyiddin, 78, yang ketika kejadian memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti Bersatu.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022. 

Bagi kesalahan ini, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung esok.

-Bernama

Tags: mahkamah

Continue Reading

Previous: Kerajaan menang rayuan berhubung perintah pelarasan pencen RM1.7 bilion
Next: Rompak bersenjata: Lelaki di Sri Aman dipenjara enam tahun, dua sebatan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.