Profesor Diraja Tan Sri Syed Muhammad Naquib Al-Attas meninggal dunia pada usia 94 tahun

Facebook
WhatsApp
TOKOH ilmuwan dan pemikir peradaban Islam kontemporari, Profesor Diraja Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas meninggal dunia pada 6.47 petang tadi.

KUALA LUMPUR: Tokoh ilmuwan dan pemikir peradaban Islam kontemporari, Profesor Diraja Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas meninggal dunia pada 6.47 petang tadi.

Berita duka pemergian tokoh berusia 94 tahun itu dikongsikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan menerusi Instagram hari ini.

Beliau berkata pemergian Allahyarham bukan sekadar kehilangan seorang tokoh, tetapi hilangnya sebutir permata ilmu bagi umat Islam.

“Almarhum dikenali sebagai mujaddid, pemikir, ilmuwan yang menyalakan kembali obor ilmu dan adab dalam dunia Islam.

“Buah fikiran dan perjuangan beliau bukan sahaja menghidupkan wacana intelektual, bahkan turut menyumbang kepada lahirnya institusi penting seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) serta ISTAC (Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa),” katanya.

Zulkifli berkata walaupun negara berduka dengan kehilangan seorang ulama pemikir, tetapi Allahyarham meninggalkan legasi serta warisan ilmu yang akan terus hidup untuk mendidik generasi akan datang.

Difahamkan jenazah Allahyarham akan disolatkan di Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini, pagi esok sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Pada Okt 2024, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mengurniakan gelaran Profesor Diraja kepada Allahyarham atas sumbangannya terhadap negara, khususnya dalam bidang pendidikan Islam.

Profesor Diraja merupakan gelaran tertinggi yang diberikan kepada seseorang profesor oleh Yang di-Pertuan Agong.

-Bernama

Kepulangan terakhir Koperal Chiu, keluarga iringi penghormatan terakhir

SIBU: Di sebalik kepulangan jenazah Koperal Chiu Teck Siong ke kampung halamannya hari ini, balu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu hanya mampu memikirkan masa depan lima anak mereka yang masih kecil, terutama soal pendidikan selepas kehilangan tonggak keluarga dalam tragedi renjatan elektrik di Beaufort, Sabah, semalam. Tan Wei Wei, 39, berkata, keutamaan beliau ketika ini ialah memastikan kelima-lima anak mereka mendapat pembiayaan pendidikan yang mencukupi memandangkan mereka masih kecil. “Yang saya fikir sekarang ialah pendidikan masa depan mereka. Mereka semua masih kecil, sedangkan gaji suami bukanlah besar,” ujarnya ketika ditemui di Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima di sini, lewat petang tadi. Beliau berkata, lima anak mereka masing-masing berusia 11, 10, sembilan, tujuh dan empat tahun. Menurutnya, empat anak yang lebih besar bersekolah di SJK(C) Tung Hua, Sibu, manakala anak bongsu mengikuti pendidikan prasekolah di Tadika Sing Antong. Tan berkata, mendiang suaminya telah lama berhasrat untuk dipindahkan semula bertugas ke Sibu supaya dapat tinggal bersama keluarga, namun hasrat itu tidak kesampaian. “Memang sudah lama dia hendak berpindah balik ke sini, tetapi belum berjaya,” katanya. Beliau berkata, kali terakhir anak-anak dapat meluangkan masa bersama bapa mereka ialah ketika sambutan Tahun Baharu Cina lalu. Koperal Chiu, 40, merupakan antara tiga anggota polis yang maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menggunakan galah logam untuk mengambil kelapa di luar Balai Polis Weston, Beaufort, Sabah, semalam. Jenazah beliau diterbangkan dari Lapangan Terbang Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kota Kinabalu dan tiba di Lapangan Terbang Sibu pada 5.50 petang. Van yang membawa jasad mendiang kemudian diiringi kenderaan polis serta ahli keluarga ke Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima. Upacara penghormatan terakhir akan diadakan di dewan berkenaan pada 7.30 pagi esok sebelum mendiang dibawa ke Nirvana Memorial Park untuk upacara pembakaran. Abu mendiang kemudian akan disemadikan di Methodist Grace Memorial Park di Jalan Kemuyang. Dua lagi mangsa yang turut terkorban dalam kejadian itu ialah Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, dan Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee, 26. Ketiga-tiga mereka bertugas di Balai Polis Weston, Beaufort. Oleh Akun Giman