
MANSFIELD: Arsenal terselamat daripada kejutan besar sebelum menewaskan kelab divisyen tiga Mansfield Town 2-1 pada pusingan kelima Piala FA sebentar tadi, sekali gus mara ke suku akhir.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta membuat sembilan perubahan selepas kemenangan 1-0 ke atas Brighton & Hove Albion dalam aksi liga minggu ini.
Arsenal mendahului pada minit ke-41 menerusi jaringan Noni Madueke yang melepaskan rembatan lencong menewaskan penjaga gol Mansfield, Liam Roberts.
Namun tuan rumah bangkit menyamakan kedudukan sejurus babak kedua bermula apabila pemain gantian Will Evans memanfaatkan kesilapan hantaran pemain muda Arsenal, Marli Salmon untuk menewaskan Kepa Arrizabalaga.

Arsenal kembali di depan pada minit ke-66 apabila pemain gantian Eberechi Eze meledak rembatan padu dari luar kotak penalti.
Walaupun berdepan tentangan sengit pasukan bawahan, Arsenal berjaya mempertahankan kelebihan untuk melangkah ke kelompok lapan terbaik.
Kemenangan itu memastikan skuad Arteta terus menghidupkan impian memburu empat trofi musim ini, termasuk Liga Perdana, Liga Juara-Juara dan Piala Liga.
-AFP