
BINTANGOR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing turun padang meninjau beberapa isu infrastruktur termasuk masalah hakisan tanah dan sistem perparitan di kawasan Meradong.
Lawatan pemeriksaan tapak tersebut diadakan bersama pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarikei bagi meneliti keadaan sebenar di beberapa lokasi yang dikenal pasti memerlukan perhatian dan tindakan lanjut.
Lawatan dimulakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tong Hua bagi meneliti masalah hakisan tanah yang berlaku di kawasan sekolah akibat aliran air yang kuat terutamanya ketika hujan lebat.
Hakisan tanah menimbulkan kebimbangan kerana hakisan yang berlaku berpotensi menjejaskan keselamatan kawasan sekitar serta kemudahan yang terdapat di sekolah tersebut.
Sehubungan dengan itu, pihak DID dan JKR Sarikei telah menjalankan penilaian awal di lokasi bagi mengenal pasti punca sebenar masalah serta meneliti langkah penyelesaian yang sesuai.
Koung Hiing berkata, antara cadangan yang dipertimbangkan termasuk kerja pengukuhan tebing, penambahbaikan sistem saliran dan langkah mitigasi lain bagi mengelakkan masalah hakisan daripada terus berlarutan pada masa akan datang.
“Isu hakisan tanah perlu ditangani segera bagi memastikan keselamatan para pelajar, guru dan kemudahan sekolah sentiasa terpelihara.
“Kerjasama antara agensi teknikal seperti DID dan JKR amat penting bagi memastikan setiap masalah yang dikenal pasti dapat dirancang dengan penyelesaian yang berkesan dan mampan,” katanya ketika ditemui media, semalam.
Selain itu, beliau turut mengadakan lawatan ke Rumah Untin di Sungai Mador bersama pihak DID Bahagian Sarikei bagi meninjau masalah saliran dan perparitan yang dihadapi oleh penduduk rumah panjang di kawasan tersebut.
“Penduduk setempat dilaporkan telah menyuarakan kebimbangan mengenai keadaan sistem perparitan yang kurang sempurna sehingga menyebabkan air mudah bertakung terutama ketika musim hujan.
“Hasil lawatan ini, pihak DID Sarikei telah mengambil maklum mengenai keadaan di kawasan tersebut dan akan meneliti langkah-langkah yang boleh diambil bagi menambah baik sistem saliran sedia ada supaya aliran air dapat dikawal dengan lebih baik.
“Penambahbaikan sistem perparitan amat penting bagi mengelakkan kejadian banjir kilat, hakisan tanah dan masalah lain yang boleh menjejaskan kehidupan harian penduduk rumah panjang,” katanya.
Koung Hiing turut menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan bagi memastikan setiap masalah yang dihadapi oleh rakyat di kawasan Meradong dapat ditangani secara berperingkat.
Turut hadir ialah Pengetua SMK Tong Hua, Law Sie Ngo; Penolong Jurutera JKR Sarikei, Nizam; Penolong Jurutera DID Sarikei, Regina Francis dan Tuai Rumah John William Sibau.
Oleh Earl Anek