
KUALA LUMPUR: Buku biografi bergambar Sepanjang Riwayatku P. Ramlee yang menghimpunkan gambar-gambar artifak serta bahan arkib berkaitan Seniman Agung negara itu diberi nafas baharu menerusi cetakan kelima oleh Arkib Negara Malaysia.
Pengarah Bahagian Arkib Negarawan Arkib Negara Malaysia Hanizah Jonoh berkata penerbitan semula buku itu bertujuan mengenang jasa dan sumbangan Allahyarham kepada dunia seni tanah air.
Beliau berkata sebahagian besar kandungan buku berbentuk katalog itu memaparkan bahan di bawah jagaan Arkib Negara, termasuk koleksi yang ditempatkan di Pustaka Peringatan P. Ramlee di Setapak, di sini, yang juga rumah terakhir seniman tersebut sebelum meninggal dunia.
“Untuk cetakan kelima ini, bilangan muka surat akan ditambah daripada 80 kepada 104 muka surat dengan penambahan gambar serta susun atur yang diperbaharui.

“Gambar-gambar yang dipaparkan pula merupakan koleksi Arkib Negara dan kita juga akan meningkatkan kualitinya menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) supaya kelihatan lebih jelas dan menarik,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Hanizah berkata antara bahan menarik yang dipaparkan ialah dokumen berkaitan seniman itu seperti sijil kematian serta beberapa bahan arkib lain yang disimpan dalam koleksi Arkib Negara.
“Buku itu turut menampilkan pelbagai poster filem serta menyorot beberapa karya lakonan Allahyarham antaranya Penarik Beca, selain diserikan dengan karya seni abstrak oleh pelukis Stephen Menon yang menggambarkan figura P. Ramlee melalui interpretasi seni visual,” katanya, menambah buku cetakan kelima itu dijangka berada di pasaran pada April ini.
Beliau berkata selain Pustaka Peringatan P. Ramlee, Arkib Negara turut menguruskan Rumah Kelahiran P. Ramlee di Pulau Pinang yang sering dikunjungi peminat dari dalam dan luar negara.

Menurutnya, usaha mendokumentasikan tokoh seni seperti P. Ramlee penting kerana seniman itu merupakan figura luar biasa yang pernah memenangi pelbagai anugerah di peringkat antarabangsa.
“Beliau dikenali sebagai ‘5P’ iaitu pelakon, pengarah, pemuzik, penyanyi dan penulis…sehingga kini sukar mencari pengganti yang memiliki bakat seperti beliau.
“Tujuan kita mendokumentasikan semua bahan ini adalah supaya generasi sekarang mengetahui bahawa negara pernah melahirkan seorang seniman yang sangat berbakat dan berjasa kepada negara,” katanya. – Bernama