SIBU: Sebut sahaja solekan, pasti ramai yang akan mengaitkannya dengan wanita.
Bagai aur dengan tebing, begitulah perumpamaan yang sesuai bagi menggambarkan solekan dan wanita yang tidak dapat dipisahkan.
Solekan bukan sahaja sekadar untuk tampil cantik, akan tetapi kelihatan hodoh dan unik juga boleh dilakukan.
Oleh itu, solekan boleh dikatakan sebagai satu medium seni yang menampilkan pelbagai karya, hasil dari kreativiti dan kemahiran seseorang.
Kini, solekan telah berkembang pesat dengan pendedahan media sosial dan kebolehan seseorang untuk berkongsi hasil solekan mereka ke dalam laman sosial.
Malah, lebih ramai yang berani mempelbagaikan teknik solekan supaya wajah mereka nampak lebih cantik dan menonjol.
Bagi menghasilkan solekan yang sempurna, bukan sahaja memerlukan teknik yang khas, ia juga memerlukan daya kreativiti yang tinggi.
Perkara ini diakui oleh seorang jurusolek tempatan, Siti Mera Edora Abdul Rahman,33, yang mula berkecimpung dalam bidang ini sejak tahun 2015.
Menurut beliau yang lebih dikenali sebagai Miera Edora, kerjaya jurusolek atau lebih mesra dipanggil ‘Makeup Artist’ (MUA) sememangnya merupakan antara pekerjaan yang bukan sahaja memerlukan bakat dan minat, malah memerlukan daya kreativiti yang tinggi bagi menghasilkan sesuatu jenis solekan.
“Kaedah yang digunakan juga haruslah bersesuaian dengan tujuan solekan sama ada mahu pergi menghadiri majlis santai, makan malam atau solekan harian ke tempat kerja.
“Malah, solekan untuk siang dan malam juga berbeza apabila kedua-keduanya memerlukan penggunaan perkakasan alat solek serta pemilihan warna yang berbeza,” katanya kepada pemberita, baru-baru ini.
Jelas Miera Edora, untuk menghasilkan sesuatu “look” bukanlah satu kerja yang mudah.
“Teknik yang betul, selain dari penggunaan peralatan asas ketika bersolek harus diambil kira.
“Cara solekan yang kurang tepat akan membuatkan wajah seseorang kelihatan seakan pelik selain solekan tidak dapat bertahan lama,” ujarnya.
Ibu kepada dua cahayamata ini memberitahu, sebelum memulakan solekan, bentuk wajah orang yang akan disolek harus dikenali dengan terperinci sebagai dasar solekan, supaya tahu mana yang mesti ditonjolkan dan ditutupi.
“Di sinilah MUA memainkan peranan sebenar. Seorang jurusolek harus bijak mengenalpasti kesesuaian jenis solekan untuk pelanggan mereka.
“Selain itu, kombinasi pelbagai warna mata, pemerah pipi dan gincu yang betul dapat menonjolkan lagi hasil solekan.
“Mungkin semua orang mampu menyolek tetapi hasil kerja pastilah berbeza mengikuti air tangan MUA tersebut,” jelasnya.
Mengorak sejarah awal penglibatan dalam bidang solekan ini, Miera Edora berkata, pada mulanya beliau hanya menjadikan bidang ini sebagai hobi.
Bagaimanapun, setelah mula bergiat aktif dengan mengikuti kelas-kelas solekan asas menjadikan minatnya semakin mendalam.
“Kini, saya mula bergiat aktif dalam bidang ini dengan menerima tempahan solekan pelanggan untuk menghadiri majlis-majlis santai ataupun untuk perkahwinan,” ujarnya.
Jelasnya lagi, untuk meningkatkan kemahiran dalam bidang ini, beliau sering mempelajari teknik solekan dengan mengikuti kelas solekan selain dari mempelajari melalui laman sosial seperti Youtube dan Facebook.
“Kebiasaannya, idea kreatif untuk menghasilkan sesuatu solekan hadir apabila kita sering mengikuti pelbagai kelas,” katanya.
Sementara itu, Miera Edora memberitahu, beliau kini mula berjinak dengan pelbagai teknik solekan kesan khas.