KUCHING: Setiap projek pembangunan yang akan dilaksanakan harus dikaji dengan teliti agar tidak memberi impak negatif kepada alam sekitar.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, dasar pembangunan mesti mengambil kira kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar.
“Pengabaian perkara itu boleh menyebabkan berlakunya bencana alam yang akan memberi kesan tidak diinginkan kepada kehidupan seharian.
“Bencana alam seperti banjir, tanah runtuh, kebakaran hutan dan sebagainya boleh berlaku jika kita tidak mengambil kira kepentingan alam sekitar dan komplikasi pembangunan. Ini pastinya akan merugikan kita sama ada dari aspek keselamatan, kesihatan dan ekonomi ,” katanya.
Awang Tengah, yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, berkata demikian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Apresiasi (MUDeNR) di sebuah hotel terkemuka, malam kelmarin.
Tambah beliau, sejak lima tahun kebelakangan, kementeriannya berhasil menggubal beberapa dasar yang memberi keutamaan kepada penglestarian sumber asli, biodiversiti dan alam sekitar di negeri ini.
“Dasar kita jelas dalam pelaksanaan Persijilan Pengurusan Hutan dan sehingga kini kita mempunyai kawasan hutan seluas 1.3 juta hektar diperakukan persijilan melalui Unit Pengurusan Hutan (FMU),” ujarnya.
Jelasnya, usaha perlu dipertingkatkan oleh kementerian itu dan agensi di bawahnya supaya 4.5 juta hektar hutan di Sarawak dapat diperakui di bawah FMU.
Oleh Nur Ain Otsman