
SARATOK: Tindakan lelaki tempatan menyerahkan kad pengenalan diri miliknya demi imbuhan kecil membawa padah apabila dia ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam sindiket penipuan pinjaman dalam talian yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, tangkapan terhadap suspek berusia 28 tahun itu dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok, semalam.
Menurutnya, siasatan mendapati suspek dipercayai berperanan sebagai ‘keldai akaun’ bagi akaun bank yang digunakan untuk menjalankan transaksi berkaitan penipuan pinjaman dalam talian.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek yang berasal dari Saratok itu mengaku pernah menyerahkan kad pengenalannya kepada dua individu iaitu seorang lelaki Cina dan seorang lelaki Iban di kawasan Pakan.
“Selepas urusan selesai, kad pengenalan tersebut dipulangkan semula kepadanya dan dia hanya menerima bayaran sebanyak RM60 sebagai upah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut turut mendapati terdapat dua transaksi kemasukan wang mencurigakan ke dalam akaun bank milik suspek berjumlah RM3,643 dan RM2,310 yang didakwa tidak diketahui olehnya.
Kes berkenaan melibatkan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM11,386 dan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
DSP Mathew berkata, suspek telah ditahan dan keterangannya dirakamkan mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan lanjut.
“Bagaimanapun, suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas proses rakaman keterangan selesai,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya menyerahkan dokumen peribadi atau maklumat perbankan kepada pihak ketiga kerana tindakan tersebut boleh membuka ruang kepada sindiket jenayah komersial untuk menyalahgunakannya.
Oleh Adi Safarman