
KUCHING: Pengumuman insentif RM700 kepada pengamal media dalam Belanjawan Sarawak sebelum ini sebenarnya telah disalah tafsir sebagai bantuan yang diberikan kepada setiap individu pengamal media swasta.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak – UKAS), Datuk Abdullah Saidol menjelaskan bahawa jumlah RM700 yang diumumkan itu hanyalah satu formula yang digunakan untuk menentukan nilai sumbangan kepada persatuan-persatuan media berdasarkan jumlah keahlian masing-masing.
Beliau berkata, ia bukan bantuan yang disalurkan secara terus kepada setiap pengamal media seperti yang difahami oleh sesetengah pihak sebelum ini.
“Pengumuman Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam belanjawan lepas, RM700 itu bukan untuk setiap individu. Jumlah RM700 itu hanyalah satu formula yang digunakan untuk menentukan jumlah sumbangan kepada persatuan-persatuan media,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penutupan Program Sentuhan Prihatin Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) bersama Bulan Sabit Merah Malaysia Daerah Kuching di sini, hari ini.
Menurutnya, dana khas untuk media Sarawak itu pada asalnya tidak termasuk dalam agenda Belanjawan Sarawak dan hanya dipohon pada hari-hari terakhir persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun lalu.
“Kesanggupan Premier dalam meluluskan permohonan yang diserahkan pada saat akhir kepada beliau amatlah dihargai,” katanya.
Abdullah berkata, permohonan tersebut kemudiannya dipersetujui oleh Premier sebagai sumbangan dana khas kepada persatuan-persatuan media Sarawak yang berdaftar.
Katanya, bagi menentukan jumlah sumbangan kepada setiap persatuan, kerajaan negeri menggunakan formula RM700 didarab dengan jumlah keahlian yang dikemukakan oleh persatuan masing-masing.
Menurut beliau, dana tersebut bertujuan membantu persatuan media menjalankan aktiviti serta menjaga kebajikan ahli-ahli mereka.
Tambahnya, bantuan itu juga mengambil kira situasi tertentu yang mungkin dihadapi pengamal media seperti kemalangan atau masalah kesihatan yang memerlukan bantuan kebajikan daripada persatuan masing-masing.
Pada masa sama, beliau menggalakkan lebih ramai pengamal media menyertai persatuan media bagi memudahkan penyaluran bantuan kebajikan serta memperkukuh kerjasama antara kerajaan dan pengamal media di negeri ini.
Oleh Shahrul Qaizat