SERIAN: Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) adalah bertujuan untuk membantu meringankan beban usahawan kecil terutamanya yang terjejas dengan pademik Covid-19 di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata, objektif utama skim ini adalah untuk memudahkan para usahawan mikro kepada pinjaman mudah tanpa mengira kaum.
“Skim tersebut dilaksanakan oleh kementerian saya melalui SEDC dan Agro Bank. Setakat ini, pihak kementerian telah meluluskan sejumlah 451 permohonan bagi SKMS dengan nilai kelulusan sebanyak RM14 juta.” katanya.
Beliau berkata, kerajaan turut melaksanakan beberapa program bantuan kewangan dalam bentuk geran, pinjaman dan pinjaman mudah.
Jelasnya, program bantuan tersebut adalah Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS), Graduan Ke arah Keusahawanan (GERAK), Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV), Bantuan Sarawakku Sayang SME 2.0 Special Relief Facility.
“Setakat September 2020, di bawah program SPIKS, kementerian telah meluluskan sebanyak RM4 juta bantuan yang memberi manfaat kepada 33 PKS
“Di samping itu, bantuan sebanyak RM1.86 juta telah diluluskan kepada GERAK dan USTEV sebanyak RM2.68 juta. Selain itu, kerajaan tidak akan mengenakan faedah empat peratus ke atas pinjaman tersebut.”ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Program Simposium Usahawan Kontraktor Siri 12 Bahagian Serian, di Hotel Roxy, Serian, semalam.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, kontraktor memainkan peranan penting dalam membantu mentransformasi pembangunan luar bandar khususnya di kawasan Serian.
“Pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bukan sahaja akan membuka peluang kepada kontraktor bumiputera untuk meningkatkan pendapatan malah ia juga merupakan sumbangan mereka di dalam pembangunan negeri Sarawak.
“Saya berharap, kontraktor hendaklah bertanggungjawab dan amanah dengan tanggungjawab yang diberikan dan bukannya menyerahkan projek secara 100 peratus kepada pihak lain untuk menyiapkan projek (Alibaba).
Turut hadir Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Timur, Datuk Seri Richard Riot Jaem, Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana Sarawak, Datuk Naroden Majais dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus.
Oleh Jeakqleyn Yacho