SIBU: Mahkamah Sesyen, di sini semalam menjatuhkan hukuman penjara lima tahun beserta dua sebatan ke atas seorang pemuda selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak lelaki yang juga merupakan anak saudaranya.
Tertuduh, Ahmad Maulana, 21, terdahulu didakwa atas dua pertuduhan melakukan amang seksual iaitu terhadap kanak-kanak lelaki terbabit serta adik perempuannya mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Bagaimanapun, tertuduh hanya mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan sahaja iaitu pertuduhan kedua sementara mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pertama.
Mengikut pertuduhan kedua, Ahmad didakwa melakukan amang seksual secara fizikal terhadap kanak-kanak lelaki terbabit yang berumur 11 tahun di sebuah rumah di sini pada Mac lalu.
Bagi pertuduhan pertama, Ahmad didakwa melakukan kesalahan sama terhadap seorang kanak-kanak perempuan berumur enam tahun sekitar Mac di tempat yang sama.
Berdasarkan fakta kes, pada 24 dan 25 Julai lalu, seorang pengurus rumah anak yatim mendapati kedua-dua adik beradik itu diliwat oleh ayah saudara iaitu tertuduh ketika tinggal di rumah nenek mereka.
Pengadu kemudian membuat laporan polis dan tertuduh ditahan pada 25 Julai untuk membantu siasatan.
Siasatan mendapati kedua-dua beradik itu dihantar oleh nenek mereka ke rumah anak-anak yatim setelah ibu mereka meninggal dunia.
Semasa cuti sekolah, kedua-dua beradik itu akan tinggal di rumah nenek mereka.
Ahmad dalam rayuannya, melahirkan rasa kesal dengan apa yang berlaku serta memohon agar dikenakan hukuman sebatan sahaja kerana takut untuk dimasuk ke penjara.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Arif Aizuddin Masrom pula memberitahu mahkamah perbuatan tertuduh itu suatu kesalahan yang amat serius.
Katanya, kedua-dua mangsa mencari perlindungan di rumah anak yatim setelah ibu mereka meninggal dunia.
“Tertuduh sebagai orang dewasa seharusnya melindungi kedua-dua kanak-kanak malang ini, namun sebaliknya menjadikan mereka sebagai mangsa.
“Perbuatan tertuduh ini tidak boleh diterima,” ujarnya.
Hakim Caroline Bee Majanil menerima pengakuan bersalah tertuduh bagi pertuduhan kedua dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun berserta dua sebatan.
Mahkamah juga menetapkan 22 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi pertuduan pertama.
Oleh Akun Giman