
PETRA JAYA: Kenyataan Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi portfolio undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim yang mendakwa cadangan penubuhan blok Borneo sebagai contoh bagaimana rakyat Sabah dan Sarawak memperdaya serta mengawal Semenanjung Malaysia disifatkan sebagai cubaan untuk meraih perhatian politik semata-mata.
Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, terdapat segelintir ahli politik yang sudah tidak mempunyai kedudukan dalam parti atau gagal dalam pilihan raya tetapi masih mahu berada di perhatian umum.
Menurutnya, golongan sedemikian biasanya menggunakan platform seperti media sosial, TikTok atau audio siar (podcast) bagi mengeluarkan kenyataan sensasi yang mudah menarik perhatian netizen dan media.
“Ini masalahnya, ada ahli politik yang mahu berada dalam perhatian. Dia kalah pilihan raya, dalam parti pun tidak ada jawatan tetapi masih mahu platform. Jadi mereka gunakan TikTok, podcast dan sebagainya untuk bercakap perkara sensasi supaya mendapat perhatian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media berkenaan Lan Berambeh Sungkei di Bangunan Baitulmakmur II, di sini hari ini.
Tambahnya, dakwaan kononnya Sabah dan Sarawak mahu mengawal Semenanjung Malaysia adalah tidak berasas kerana kedua-dua wilayah sentiasa berkongsi hasil sumber negara sejak pembentukan Malaysia.
Menurut Abdul Karim, apa yang diperjuangkan Sarawak ketika ini hanyalah perkongsian hasil yang lebih adil, khususnya berkaitan sumber minyak dan gas yang selama ini memberi pulangan kecil kepada negeri pengeluar.
“Kita hanya mahu perkongsian yang adil. Tidak munasabah kalau Sarawak mengeluarkan sumber tetapi hanya menerima lima peratus sahaja. Itu bukan perkongsian yang adil,” katanya.
Baru-baru ini, Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah Armizan Mohd Ali menggesa agar Sabah dan Sarawak bekerjasama untuk membentuk satu blok bersatu yang akan membantu mencorakkan Kerajaan Persekutuan serta memacu agenda terasnya.
Sabah dan Sarawak memiliki 56 kerusi daripada 222 kerusi Dewan Rakyat, dengan Sabah sebanyak 25 kerusi dan Sarawak 31 kerusi.
Oleh itu, Zaid Ibrahim dilaporkan berkata, cadangan penubuhan blok Borneo itu satu contoh ‘bagaimana rakyat Sabah dan Sarawak yang pintar terus memperdaya dan mengawal Semenanjung Malaysia.
Oleh Shahrul Qaizat