



LAWAS: Tiga lelaki tempatan ditangkap di sebuah bilik sewa di bandar Lawas petang semalam.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan, dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa ketiga-tiga lelaki berusia 37, 35 dan 28 tahun, yang bekerja sebagai buruh, disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
Hasil pemeriksaan polis tidak menemui sebarang barang salah atau dadah. Bagaimanapun, ujian air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis Amphetamine (Amp) dan Methamphetamine (Meth).
Semakan rekod lampau mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai antara satu hingga tiga kesalahan lampau berkaitan dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB 1952).
Sementara itu, pada Selasa lalu, di tempat letak kereta di bandar Lawas, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun, juga bekerja sebagai buruh, kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
Pemeriksaan tidak menemui sebarang barang salah atau dadah. Ujian air kencing mendapati suspek positif Amp dan Meth, namun semakan rekod lampau menunjukkan tiada kesalahan sebelumnya. Kes juga disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
Oleh Adeng Edrus