
PUTRAJAYA: Polis telah mengambil keterangan seorang individu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menjatuhkan kerajaan dan melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara, melibatkan individu berpengaruh dengan agensi media antarabangsa.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata individu warga tempatan berkenaan hadir secara sukarela untuk memberi keterangan selepas laporan dibuat mengenai perkara tersebut pada 26 Februari lepas.
Beliau berkata kenyataan yang diambil agak panjang dan memerlukan masa untuk diteliti secara menyeluruh oleh pihak polis.
“Setakat ini kita baru ambil (kenyataan) seorang tapi kita ada lagi dalam tiga hingga empat orang yang perlu kita panggil,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini hari ini.
Mohd Khalid berkata siasatan berhubung perkara itu memerlukan pendekatan menyeluruh dan berhati-hati kerana melibatkan aspek keselamatan negara.
Beliau berkata polis juga telah mengenal pasti beberapa nama dan sedang berusaha mendapatkan kenyataan daripada mereka yang berkaitan, dan pada masa sama meneliti kemungkinan penglibatan pihak luar negara bergantung kepada perkembangan siasatan seterusnya.
Ditanya kemungkinan memanggil isteri Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, beliau berkata perkara itu masih dalam penelitian, dan buat masa ini siasatan tertumpu kepada individu tempatan.
Mohd Khalid berkata semua isu berkaitan keselamatan negara perlu ditangani dengan teliti bagi mengelakkan timbulnya kesangsian dalam kalangan rakyat.
“Kita mahu supaya negara ini berada dalam landasan yang betul ke arah lebih progresif pada masa akan datang,” katanya.
Pada 3 Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa cubaan untuk menjatuhkan kerajaan didukung oleh warga tempatan dengan memanfaatkan pengaruh media dan institusi antarabangsa termasuk melibatkan kelompok Zionis terkemuka.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata siasatan awal PDRM mendapati gerakan berkenaan berpangkalan di luar negara dan mempunyai dana besar bagi merancang strategi untuk mempertikai dan menggugat kerajaan sedia ada. – Bernama