Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • 10,000 penduduk meriahkan perarakan Cap Goh Mei di Bandar Simanggang malam tadi
  • Tengah
  • WILAYAH

10,000 penduduk meriahkan perarakan Cap Goh Mei di Bandar Simanggang malam tadi

Utusan Sarawak 10 hours ago
DATUK Francis Harden Hollis pada majlis sambutan Cap Goh Mei peringkat Sri Aman, di pekarangan Tokong Ciyun, malam tadi. Foto: ADUN Simanggang

SIMANGGANG: Sekitar 10,000 penduduk dari dalam dan luar Bahagian Sri Aman membanjiri jalan sepanjang laluan perarakan Cap Goh Mei yang diadakan bagi menandakan berakhirnya sambutan Tahun Baharu Cina 2026 di Bandar Simanggang, malam tadi.

Perarakan Cap Goh Mei peringkat Sri Aman itu bermula dari pekarangan Tokong Ciyun di Jalan Main Bazaar sebelum bergerak melalui beberapa laluan utama bandar berkenaan dengan disaksikan ribuan pengunjung yang hadir memeriahkan acara tersebut.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Francis Harden Hollis berkata, sambutan yang meriah itu menjadi bukti kukuh keharmonian serta perpaduan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.

Menurut beliau, kehadiran masyarakat pelbagai latar belakang budaya dalam perayaan tersebut jelas memperlihatkan nilai toleransi dan semangat saling menghormati yang diamalkan oleh rakyat negeri ini sejak sekian lama.

“Apabila melihat keadaan yang berlaku di beberapa negara di seluruh dunia, kita sebenarnya amat bertuah kerana hidup dalam masyarakat berbilang kaum yang mementingkan toleransi serta mampu hidup bersama secara aman dan harmoni,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Cap Goh Mei peringkat Sri Aman yang berlangsung dengan penuh warna-warni dan pelbagai persembahan kebudayaan masyarakat Cina.

Tambah beliau, walaupun Sarawak kini menikmati suasana aman dan damai, usaha untuk memupuk kesedaran masyarakat mengenai kepentingan perpaduan perlu terus diperkasakan.

Katanya, pelbagai program kesedaran dalam kalangan masyarakat wajar dilaksanakan bagi menyemai nilai kepedulian serta nilai sepunya dalam usaha mengekalkan keharmonian yang telah terbina.

Menurut Harden, bukti perpaduan yang mekar dalam kalangan masyarakat dapat dilihat apabila sesuatu perayaan bukan sahaja disambut oleh kaum yang meraikannya, malah turut disertai masyarakat daripada pelbagai latar belakang.

Katanya, perkara itu jelas dilihat menerusi sambutan Cap Goh Mei yang bukan sahaja dihadiri masyarakat Cina, tetapi turut disertai kaum lain yang bersama-sama memeriahkan perayaan tersebut.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata, suasana sama juga dapat dilihat ketika Ramadan apabila masyarakat pelbagai kaum turut membanjiri bazar Ramadan bagi menikmati juadah yang dijual oleh peniaga.

Harden menambah, kemeriahan perpaduan itu turut dirasai ketika sambutan Hari Gawai Dayak yang menampilkan pelbagai persembahan kebudayaan seperti Pekit Kumang Gawai, Pekit Keling, Bejalai Niti Daun serta Bazaar Gawai yang mempamerkan pakaian tradisi masyarakat Dayak.

Oleh Adi Safarman

Continue Reading

Previous: Jalan Kampung Baru Sebuan Besar dinaik taraf melalui RTP
Next: Mimpi ngeri nyamuk di Tabuan Desa dan Tabuan Jaya

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.