
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dilantik sebagai Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa hari ini.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan itu bagi mengisi kekosongan jawatan Setiausaha Politik (Kanan) kepada Perdana Menteri.
Dalam kenyataan sama, Perdana Menteri menzahirkan harapan agar Tengku Zafrul dapat melaksanakan amanah yang diberikan dengan baik dan penuh tawaduk demi kemakmuran negara serta kesejahteraan rakyat.
Tengku Zafrul mengakhiri perkhidmatan beliau selaku menteri di bawah pimpinan Kerajaan MADANI pada 2 Disember lepas, serentak dengan penamatan perkhidmatannya sebagai anggota Dewan Negara.
Kekosongan jawatan Setiausaha Politik (Kanan) kepada Perdana Menteri pula berlaku susulan peletakan jawatan penyandangnya Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin pada 25 November lepas.- Bernama