KUCHING: Sarawak harus mencapai kadar pertumbuhan ekonomi lapan peratus setiap tahun untuk menggandakan ukuran ekonomi dari RM133 bilion pada 2018 menjadi RM282 bilion menjelang 2030.
Lapan sektor yang akan menjadi enjin pertumbuhan utama adalah pertanian komersial, komoditi, pembuatan, perhutanan, pelancongan dan perlombongan.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata demikian ketika berucap pada Perasmian Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak ke-4 (IDECS) 2020 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), semalam.
Tambahnya, sektor ekonomi ini seterusnya didorong oleh enam sektor iaitu transformasi digital, inovasi dan keusahawanan, pendidikan, infrastruktur, pengangkutan dan utiliti.
“Tumpuan akan diberikan pada peningkatan tingkat produktivitas yang ada secara signifikan di semua sektor ekonomi melalui penerapan teknologi digital, data dan inovasi.
“Kita menjangkakan eksport akan meningkat sekitar tiga kali ganda disokong oleh produk bernilai tinggi yang dihasilkan oleh sektor pembuatan, pertanian, perhutanan dan perlombongan,” ujarnya.
Ekonomi digital berperanan penting dalam memacu peningkatan potensi industri perniagaan tempatan.
Abang Johari yakin bahawa seluruh rakyat di negeri ini mengambil keputusan tepat dengan menggunakan platform ekonomi digital dalam mengetengahkan dan memasarkan produk mereka ke seluruh dunia.
“Perubahan terhadap transformasi digital pada masa ini juga secara tidak langsung memberi impak terhadap pembangunan ekonomi dan juga tahap kehidupan sosial setiap komuniti.
“Cabaran besar bagi Kerajaan Sarawak adalah untuk mewujudkan tahap kemampuan bagi menyediakan jaringan internet lebih luas di negeri ini,” ujarnya lagi.
Persidangan IDECS 2020 adalah edisi keempat yang dianjurkan secara hibrid.
Hanya 500 peserta dibenarkan menghadiri persidangan tersebut secara fizikal bagi mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Persidangan ini juga disiarkan melalui live streaming.
Oleh Nur Ain Otsman