
KUCHING: Institut Perubatan Cina Sarawak menutup Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) 2026 dengan jayanya apabila barisan jawatankuasa baharu bagi sesi 2026–2027 dipilih dalam suasana penuh muafakat dan semangat kekitaan.
Mesyuarat berkenaan berlangsung di Hiap Chen Nian Satay House dengan semua agenda dibentang dan diluluskan secara lancar oleh ahli-ahli yang hadir.
Presiden, Hii Nai Toh, sekali lagi diberi mandat menerajui institut itu selepas memperoleh sokongan majoriti yang kukuh daripada ahli.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan atas kepercayaan dan sokongan padu yang diberikan sepanjang tempoh kepimpinannya.
Beliau menegaskan bahawa jawatankuasa baharu akan terus komited mempertahankan misi penubuhan institut selain memperkukuh kerjasama dalam merancang dan melaksanakan pelbagai aktiviti bermanfaat kepada ahli dan masyarakat.
“Barisan kepimpinan baharu akan bergerak secara lebih tersusun dan inklusif bagi memastikan peranan institut terus relevan dalam memperkasa perubatan tradisional Cina di Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, usaha memperluas keahlian serta menghimpunkan tenaga profesional dalam bidang berkenaan akan dipergiatkan demi memartabatkan warisan dan perkembangan perubatan tradisional Cina di negeri ini.
Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa dengan komitmen kolektif semua ahli, institut itu mampu melakar pencapaian lebih gemilang pada masa hadapan.
Senarai Jawatankuasa 2026–2027:
Presiden: Hii Nai Toh
Timbalan Presiden: Ng Sheau Lui
Dekan: Vong Ngui Fah
Timbalan Dekan: Chai Sing Kong
Setiausaha: Loh Siaw Khian
Penolong Setiausaha: Vong Yaw Ching
Bendahari: Choo Nyit Kiaw
Ketua Hal Ehwal Farmaseutikal: Bong Siew Moi
Timbalan Ketua Hal Ehwal Farmaseutikal: Chong Pei Ngo
Pegawai Perhubungan Awam: Ho Ai Min
Penolong Pegawai Perhubungan Awam: Chiong Swei Lang
Juruaudit: Kiing Sie Ying
Pemilihan tersebut menandakan kesinambungan kepimpinan serta komitmen berterusan institut dalam memperkukuh pembangunan dan pengiktirafan perubatan tradisional Cina di Sarawak.