
GENEVA, Switzerland: Fenomena cuaca pemanasan El Nino berkemungkinan kembali penghujung tahun ini susulan fenomena penyejukan, La Nina, yang semakin reda, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.
Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) memaklumkan La Nina yang lemah dan berlaku baru-baru ini dijangka beralih kepada keadaan neutral sebelum berpotensi berkembang menjadi El Nino menjelang penghujung 2026.
La Nina ialah fenomena iklim semula jadi yang menyejukkan suhu permukaan di bahagian tengah dan timur Lautan Pasifik khatulistiwa.
Ia membawa perubahan terhadap corak angin, tekanan udara dan taburan hujan.
Menurut WMO, terdapat kebarangkalian 60 peratus keadaan neutral bagi tempoh Mac hingga Mei, 30 peratus kemungkinan La Nina, dan 10 peratus kebarangkalian El Nino.

Bagi tempoh April hingga Jun, kebarangkalian keadaan neutral meningkat kepada 70 peratus.
Untuk tempoh Mei hingga Julai pula, kebarangkalian keadaan neutral menurun kepada 60 peratus, manakala kemungkinan El Nino meningkat kepada 40 peratus.
“Komuniti WMO akan memantau keadaan dengan teliti dalam beberapa bulan akan datang bagi membantu proses membuat keputusan,” kata Setiausaha Agung WMO, Celeste Saulo, yang mengetuai agensi cuaca dan iklim PBB.
“El Nino terbaharu pada 2023-24 merupakan antara lima yang terkuat pernah direkodkan dan memainkan peranan dalam suhu global tertinggi yang disaksikan pada 2024,” katanya.
El Nino turut menyumbang kepada 2023 sebagai tahun kedua terpanas dalam rekod dan menjadikan 2024 tahun paling panas pernah dicatatkan.
Suhu Melebihi Purata
WMO menegaskan fenomena iklim semula jadi seperti La Nina dan El Nino berlaku dalam konteks perubahan iklim akibat aktiviti manusia yang “meningkatkan suhu global dalam jangka panjang, memburukkan kejadian cuaca dan iklim ekstrem, serta menjejaskan corak hujan bermusim dan suhu”.
Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat (NOAA) menyatakan terdapat kebarangkalian 50 hingga 60 peratus El Nino berkembang antara Julai hingga September dan seterusnya.
“Ramalan bermusim bagi El Nino dan La Nina membantu mengelakkan kerugian ekonomi berjuta-juta dolar dan menjadi alat perancangan penting bagi sektor sensitif terhadap iklim seperti pertanian, kesihatan, tenaga dan pengurusan air,” kata Saulo.
“Ia juga merupakan komponen utama risikan iklim yang disediakan WMO bagi menyokong operasi kemanusiaan dan pengurusan risiko bencana, sekali gus menyelamatkan nyawa,” katanya.
Kemas kini Iklim Bermusim Global terkini WMO menyatakan terdapat petunjuk meluas di peringkat global bahawa suhu permukaan daratan dijangka melebihi purata bagi tempoh Mac hingga Mei.
Ramalan hujan di Pasifik khatulistiwa menunjukkan corak seakan La Nina yang masih berlarutan, namun di bahagian lain dunia, keadaannya lebih bercampur, menurut laporan itu. – AFP