Kepulan asap tebal menjulang di kawasan Fujairah, UAE, semalam, di tengah-tengah konflik semakin meruncing di Asia Barat. - Foto AFP
ISTANBUL: Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) mengarahkan kakitangan bukan petugas utama di Perwakilan AS di Kuwait, Iraq, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Bahrain dan Jordan meninggalkan negara mereka bertugas, atas alasan ‘ancaman konflik bersenjata’ dan ‘kebimbangan keselamatan’ susulan konflik ketenteraan dengan Iran, lapor Anadolu Ajansı (AA).
Jabatan itu turut menggesa rakyat AS di negara terbabit memantau media tempatan serta amaran rasmi AS untuk mendapatkan maklumat terkini.
Terdahulu, Kedutaan AS di Kuwait semalam memaklumkan yang ia ‘akan ditutup hingga diberitahu kelak’ susulan ketegangan serantau yang berterusan.
“Kami membatalkan semua janji temu konsular biasa dan kecemasan.
“Kami akan memaklumkan apabila kedutaan kembali beroperasi seperti biasa,” menurut kenyataan kedutaan itu menerusi platform media sosial X.
Dalam nasihat perjalanan bagi Iraq pula, Kedutaan AS di Baghdad turut memaklumkan bahawa Jabatan Negara mengarahkan kakitangan bukan petugas utama untuk ‘meninggalkan Iraq atas faktor keselamatan.’
“Oleh kerana kebimbangan keselamatan, kakitangan kerajaan AS di Baghdad dilarang menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad,” menurut kenyataan itu lagi.
Perkembangan itu berlaku ketika kempen ketenteraan AS-Israel yang dilancarkan terhadap Iran pada Sabtu lalu dilaporkan membunuh beberapa pegawai kanan Iran termasuk Pemimpin Agung, Ayatollah Ali Khamenei.
Sebagai tindak balas, Tehran melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel serta aset AS di beberapa negara serantau. – BERNAMA-ANADOLU