Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Kisah pengambilan Baram oleh Brooke
  • KOLUMNIS

Kisah pengambilan Baram oleh Brooke

Utusan Sarawak 9 hours ago

SELEPAS dapat menjadi raja di Sarawak pada 1841, Raja James Brooke mempunyai nekad untuk meluaskan wilayah Sarawak. Usaha ini dijalankan ke atas wilayah Brunei yang masih tinggal.

Awalnya James Brooke berjaya menawan Sungai Batang Lupar, Sungai Skrang, Sungai Kalaka dan Sungai Saribas dengan alasan lanun. Seterusnya pertelingkahan di Mukah pula membawa campur tangan di Lembah Rajang. 

Sekali lagi mereka berjaya mengambil wilayah ini untuk memperkukuhkan ekonomi Sarawak. 

Seterusnya mereka mengintai pula wilayah Brunei di Baram. Raja Charles Brooke yang baru sahaja naik takhta kerajaan mula berunding dengan Brunei untuk pengambilan tersebut.

Namun Sultan Brunei menolak pemintaan ini, dan meminta Gabenor Pope-Hennessy di Labuan untuk melindungi Brunei daripada pemintaan Raja Charles Brooke ini.

Tuntutan

Sultan Brunei berpendapat bahawa Brunei berhak mendapat perlindungan dari kerajaan British berdasarkan perjanjian mereka dengan British pada 1847. 

Dalam hal ini Pope-Hennessy bersetuju menjadi penimbang tara antara kedua-dua pihak bagi menyelesaikan isu tersebut.

Ini menyebabkan kerajaan Brooke mengadu hal ini ke Pejabat Luar Negeri di London tentang mengapa perlunya campur tangan dari luar tentang hubungan Sarawak dan Brunei.

Namun demikian Pejabat Luar Negeri membalas bahawa British melarang sebarang perubahan wilayah-wilayah Brunei tanpa persetujuan mereka. Tambahan pula mereka menentang sebarang percubaan memujuk Sultan Brunei yang bertentangan dengan Perjanjian 1847.

Tekanan

Dilaporkan bahawa kerajaan Brooke telah memberi tekanan kepada Brunei pada 1868 dengan mengenakan denda sebanyak $4,000 atas alasan kononnya tindakan tersebut telah ‘menjatuhkan maruah’.

SULTAN Abdul Momin ibni Pengiran Shahbandar Pengiran Anak Abdul Wahab (1785 – 29 Mei 1885) ialah Sultan Brunei ke-24 dari 18 November 1852 sehingga 29 Mei 1885. Foto Wikipedia.

Alasan yang dikemukakan oleh pihak Brooke dilihat terlalu remeh, iaitu Sultan Abdul Momin didakwa tidak menggunakan cop mohor yang berkualiti tinggi pada surat yang dihantar kepada Raja Charles Brooke, berbeza dengan surat-surat rasmi Sultan Brunei terdahulu. 

Tambahan daripada itu kerajaan Brooke juga menggunakan taktik memotong bayaran tahunan ke atas wilayah-wilayah yang telah diserahkan kepada Sarawak. 

Brooke juga mendakwa seorang pedagang Brunei masih berhutang dengan pedagang-pedagang Sarawak.

Di peringkat antarabangsa, kerajaan Brooke turut menggunakan taktik propaganda dengan memburuk-burukkan Sultan Brunei serta mendakwa bahawa penduduk Baram lebih cenderung untuk berada di bawah pemerintahan Sarawak.

Walaupun tuduhan dan dakwaan tersebut berlegar, kerajaan British tetap berpegang pada prinsipnya untuk tidak membenarkan penyerahan Baram kepada Sarawak pada ketika itu.

Rundingan

Tindakan kerajaan British ini tidak menghalang kerajaan Brooke mengadakan pelbagai lagi usaha untuk memujuk Sultan Brunei. Pada 9 Mac 1876 satu draf perjanjian telah dibawa oleh wakil kerajaan Brooke berjumpa dengan Sultan Brunei yang bertujuan menyerah wilayah Baram kepada Sarawak.

Sultan Brunei mengambil pendirian menolak draf perjanjian tersebut dengan dua alasan. 

Pertama baginda mengatakan bahawa wilayah yang hendak diambil oleh Sarawak bukan milik baginda tetapi milik pembesar-pembesar Brunei yang lain. 

Kedua pula Sultan Brunei tidak boleh sewenang-wenangnya menyerah wilayah kerana Brunei perlu mematuhi perjanjian dengan British yang ditandatangani pada 1847. 

Dalam Perkara 10 perjanjian tersebut menyebut bahawa Brunei perlu mendapat keizinan British untuk menyerah wilayahnya kepada orang perseorangan atau kerajaan asing.

Penolakkan ini menyebabkan sekali lagi kerajaan Brooke memotong bayaran tahunan penyerahan wilayah ke Sarawak. Selain itu potongan juga dibuat kerana pedagang Brunei telah berhutang dan telah melakukan tindakan merampas harta benda pedagang Sarawak yang berada di wilayah Brunei.

Sementara itu di Labuan, usaha kerajaan Brooke ini membimbangkan pedagang-pedagang di pulau tersebut. Ini kerana penyerahan Baram akan menyebabkan perubahan pola perdagangan berlaku dari Brunei ke Kuching.  Secara tidak langsung ia akan melemahkan ekonomi Labuan.

Serangan

Walaupun mengalami masalah untuk mendapatkan Baram, satu kejadian di Sungai Baram membuka ruang luas kepada kerajaan Brooke memiliki wilayah tersebut. 

Kejadian yang berlaku pada 20 Mei 1880 yang melibatakan serangan ke atas kapal milik warganegara British di Sungai Baram. 

Dalam kejadian tersebut, lima orang telah terbunuh, manakala dua orang lagi mengalami kecederaan. Kapal mereka telah dirampas. 

Sehubungan dengan itu Peter Leys selaku konsul general di Labuan telah mewakili pihak tuan punya kapal telah membuat tuntutan kepada Brunei.

Sultan Abdul Momin ketika itu cuba menyelesaikan masalah ini tetapi gagal menangkap pesalah yang dikatakan telah melarikan diri ke kawasan hulu sungai.

Sementara itu, denda ke atas kejadian tersebut terlalu besar untuk dipenuhi oleh Sultan Abdul Momin. Beliau cuba membayar dengan wang peribadi tetapi ditolak oleh Leys kerana tidak dapat memenuhi apa yang dikehendaki.

Peluang

Ini merupakan peluang keemasan untuk kerajaan Brooke untuk mendapatkan Baram. Leys seolah-olah berpihak kepada Brooke. Dasar kerajaan British juga berubah apabila membenarkan pemindahan wilayah tersebut kepada kerajaan Brooke. 

Kerajaan British menetapkan bahawa wilayah-wilayah diserahkan kepada Sarawak tidak boleh dipindah milik kepada kuasa asing tanpa persetujuan kerajaan British.

Perubahan dasar British ini dapat dikaitkan dengan perubahan persepsi London terhadap Borneo, yang kini dilihat sebagai wilayah strategik dari sudut geopolitik, perdagangan dan keselamatan, khususnya dalam menghadapi persaingan kuasa Barat lain di rantau Asia Tenggara. 

Ketika itu beberapa kuasa Barat sedang mengintai peluang meluaskan pengaruh mereka di utara Borneo seperti Itali dan Sepanyol. Kebimbangan juga kerana ada pengaruh Belanda di bahagian selatan pulau tersebut.

Ketika itu juga kerajaan Brunei semakin lemah dan ini memungkin berlaku campur tangan kuasa asing di Borneo. Oleh itu penyerahan itu penting bagi British kerana mereka melihat kerajaan Brooke sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh.

Aura positif dari kerajaan British ini membawa usaha rundingan penyerahan Baram kepada Sarawak.

Pada awalnya Sultan Abdul Momin menolak penyerahan ini, manakala perjumpaan dan rundingan pada 6 Mei 1882 pula Sultan Abdul Momin bersetuju menyerahkan Baram kepada Sarawak.

Persetujuan penyerahan tersebut termasuk tanggungjawab dalam kes pembunuhan wargannegara British di Baram. Wilayah-wilayah bukan milik Sultan Abdul Momin pula kerajaan Brooke perlu menyelesaikannya dengan pemilik sebenar wilayah tersebut. 

Akhirnya secara rasmi pada 13 Jun 1882 kawasan dari Sungai Kidurong ke Sungai Baram menjadi wilayah Sarawak.

  • Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Tags: Dr Suffian Mansor

Continue Reading

Previous: Reka bentuk pesawat ambil kira setiap aspek – keselesaan, keselamatan dan kecekapan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.