DESAS-desus perpindahan ketua jurulatih Kedah Aidil Sharin Sahak ke Perak menggantikan Mehmet Durakovic bertiup sudah agak lama.
Namun ketika ditanya tentang rancangan masa depannya, jawapan jurulatih dari Singapura itu ringkas: buat masa ini beliau hanya mahu tumpukan pada tugas semasa iaitu perlawanan terakhir Lang Merah dalam Liga Super menentang Perak di Stadium Perak, Ipoh pada Sabtu ini (10 Oktober).
Perlawanan itu amat penting kerana kedua-dua pasukan mendambakan tempat terakhir kelayakan Piala AFC 2021. Kedah di tangga kedua liga selepas mengutip 19 mata, berkelebihan satu mata berbanding Perak yang berada di tangga ketiga daripada 12 pasukan.
Aidil, 43, turut mengetepikan desas-desus perpindahannya ke Perak, menyatakan beliau gembira dengan pengurusan pasukan Kedah di sebalik isu gaji tidak berbayar sebelum ini.
“Pengurusan (Kedah) sedang melakukan yang terbaik… situasi sedang berubah secara perlahan. Saya yakin mereka akan lakukan lebih baik lagi pada masa depan. Jika semuanya berjalan dengan baik, kenapa tidak (kekal sahaja dengan Kedah),” katanya pada sidang media selepas kemenangan tipis 1-0 ke atas Melaka United di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di sini malam semalam.
“Kedah sentiasa di hati saya. Saya suka dengan kakitangan, barisan kejurulatihan dan pemainnya, mereka sangat hebat. Insya-Allah, kita tengoklah nanti,” tambahnya.
Muhammad Shakir Hamzah muncul wira Lang Merah apabila beliau menanduk gol kemenangan pada minit ke-19, namun bagi Aidil keseluruhan pasukan harus dipuji termasuk penjaga gol muda Muhammad Azri Ab Ghani yang berjaya mempertahankan gawang daripada dibolosi.
Pemain berusia 21 tahun itu diberi tugas menjaga pintu gol selepas Ifwat Akmal Chek Kassim dan Mohd. Shahril Saa’ri tidak dapat diturunkan kerana kecederaan.
Sementara itu, jurulatih Melaka United Zainal Abidin Hassan meletakkan punca kekalahan tersebut pada anak buahnya yang gagal memanfaatkan peluang, namun berharap mereka akan lebih fokus di hadapan gol lawan apabila menentang pasukan juara Johor Darul Ta’zim dalam perlawanan terakhir Sabtu ini.
“Kami ambil masa yang lama untuk mencari rentak dan meloloskan gol menerusi sepakan sudut. Bagaimanapun pujian harus diberi kepada pemain yang meningkatkan prestasi mereka selepas minit ke-25. Kami ada peluang namun gagal sempurnakannya,” katanya. – Bernama