


LAWAS: Polis Daerah Lawas menahan tiga lelaki di tepi Jalan Trusan, malam tadi, kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan, berkata ketiga-tiga suspek ditahan oleh sepasukan anggota polis yang menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan di lokasi berkenaan.
“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut dan tiga lelaki tempatan berusia 26, 29 dan 33 tahun yang bekerja sebagai buruh, pihak polis menemui satu keratan straw berisi hablur jernih yang disyaki dadah jenis syabu daripada salah seorang suspek.
“Pemeriksaan lanjut terhadap dua lagi suspek serta kenderaan itu bagaimanapun tidak menemui sebarang barang salah atau dadah lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, barang yang disyaki dadah jenis syabu itu dirampas dengan berat kasar 0.37 gram.
Hasil ujian air kencing mendapati ketiga-tiga orang yang disyaki positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Semakan rekod lampau mendapati kesemua suspek tidak mempunyai sebarang kesalahan jenayah terdahulu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Oleh Adeng Edrus