
MIRI: Hospital Miri kini sedang mencari waris atau ahli keluarga kepada seorang pesakit lelaki berusia 73 tahun, Ong Ngee Eng, bagi tujuan urusan rawatan dan discaj.
Menurut rekod hospital, kad pengenalan pesakit bernombor 520603-13-XXXX dan alamat yang tertera adalah di Lot 9172 Desa Indah, Jalan Dato Permaisuri 3D Lorong 2, Bandar Baru Permyjaya, Miri.
Pesakit mula mendapatkan rawatan di Hospital Miri sejak 1 Februari lalu tetapi didapati tidak dapat memberikan maklumat diri dan ahli keluarga dengan jelas.
Sehingga kini, tiada waris atau ahli keluarga yang hadir bagi membantu perancangan rawatan dan urusan discaj pesakit.
Hospital Miri menggesa orang ramai yang mengenali pesakit atau mempunyai maklumat mengenai waris atau ahli keluarga beliau untuk segera menghubungi Pegawai Kerja Sosial Perubatan, Puan Adriana Mathew Lugun, di talian 085-460633 pada waktu pejabat dari Isnin hingga Jumaat.
Tindakan segera adalah penting bagi memastikan pesakit menerima rawatan dan perhatian yang sewajarnya.