Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • PKR Sarawak perkukuh jentera hadapi PRN
  • TEMPATAN

PKR Sarawak perkukuh jentera hadapi PRN

Utusan Sarawak 6 hours ago
KETUA Cabang PKR Lanang, Michael Lee (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak Ahmad Nazib Johari sambil disaksikan oleh Wong (kiri).

SIBU: Semua cabang dan ranting Parti Keadilan Rakyat (PKR) digesa mempersiapkan jentera masing-masing bagi memastikan kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak Ahmad Nazib Johari berkata, kesiapsiagaan itu penting bagi memastikan parti bersedia menyemarakkan demokrasi dan menawan lebih banyak kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) sebaik sahaja pembubaran berlaku.

“Kita perlu bersedia kerana kemungkinan pada tahun ini kita akan menghadapi PRN Sarawak. Sama ada kita bertanding atau menghadapi pilihan raya umum yang akan datang, kita mesti sentiasa bersiap siaga.

“Saya berharap semua cabang dapat memperkukuh jentera, menguatkan cabang dan ranting supaya apabila DUN dibubarkan, kita bersedia untuk bersama-sama menawan lebih banyak kerusi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Makan Malam Gala Tahun Baharu Cina (TBC) 2026, di sini, semalam.

Ahmad Nazib yang juga baru dilantik sebagai Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) menegaskan peranan ahli PKR kini telah berubah daripada berada di luar kerajaan kepada sebahagian daripada komponen pentadbiran.

Menurut beliau, status PKR sebagai parti dalam kerajaan membolehkan ahli-ahlinya bertindak sebagai jambatan bagi memperjuangkan kebajikan rakyat Sarawak, termasuk menyelesaikan isu dokumentasi pengenalan diri yang tertunggak sekian lama.

“Kita bukan lagi seperti dahulu yang hanya berada di luar kerajaan. Dalam keadaan ini, kita menjadi jambatan antara rakyat dan kerajaan. 

“Apa-apa sahaja keperluan dan kebajikan rakyat Sarawak, kita perlu menjadi juara dalam memperjuangkannya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menonjolkan keberkesanan Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam menyelesaikan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Jelasnya, daripada 29 perkara dalam MA63, sebanyak 13 perkara telah berjaya diselesaikan dengan sembilan daripadanya diselesaikan di bawah pentadbiran Kerajaan Madani sejak 2022 hingga 2026.

“Ini jelas menunjukkan komitmen Kerajaan Madani dalam menyelesaikan segala keperluan rakyat Sarawak. Malah, projek infrastruktur utama seperti Lebuh Raya Pan Borneo kini telah hampir 80 peratus siap,” tambah beliau.

Menyentuh mengenai isu pembangunan, Ahmad Nazib berkata kerajaan kini memberi tumpuan khusus untuk membaik pulih sekolah-sekolah daif dan meningkatkan kemudahan utiliti di kawasan luar bandar Sarawak yang masih ketinggalan.

Beliau menggesa semua ahli parti untuk menjadi ‘mata dan telinga’ kerajaan dengan menyalurkan maklumat tepat mengenai kekurangan infrastruktur di kawasan masing-masing agar penyelarasan bantuan dapat dilakukan melalui Jabatan Perdana Menteri.

Hadir sama Ketua Cabang PKR Lanang, Michael Lee, Pengerusi Penganjur Wong Sie Han merangkap Ketua Angkatan Muda PKR Cabang Lanang dan yang lain.

Oleh Tarani Lanting

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Mufti baharu tekad galas amanah dengan jujur dan penuh hikmah
Next: Kerajaan Sarawak perkasa kontraktor tempatan melalui sumbangan jentera dan mesin

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.