
KUALA LUMPUR: Kementerian Luar Malaysia kini menumpukan perhatian kepada pengurusan pembatalan penerbangan komersial yang menjejaskan jemaah Malaysia di Arab Saudi susulan gangguan ruang udara serantau yang lebih meluas.
Kementerian itu, yang juga dikenali sebagai Wisma Putra berkata, walaupun keseluruhan keadaan keselamatan dan ruang udara di Arab Saudi kekal stabil dan beroperasi, sejumlah besar jemaah Malaysia, serta sekumpulan pelajar transit, mengalami kelewatan perjalanan akibat penggantungan beberapa penerbangan komersial.
“Semua individu terbabit adalah selamat. Kementerian telah memulakan libat urus peringkat tertinggi dengan syarikat penerbangan komersial bagi bagi mempercepatkan pengaturan penerbangan pulang,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Wisma Putra berkata pada masa yang sama, Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah bekerjasama rapat dengan Tabung Haji serta agensi pelancongan Umrah dan Haji bagi memastikan penginapan, makanan dan kebajikan jemaah terus terjamin.
“Konsulat juga sedang menyelaraskan pengaturan sementara dan membantu pelajar transit mengikut keperluan,” menurut kementerian.
Pada masa ini, rakyat Malaysia dinasihatkan supaya menangguhkan semua perjalanan tidak penting ke Iran, Iraq, Jordan, Kuwait, Qatar, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu, manakala Nasihat Perjalanan ke negara berkenaan, yang dikeluarkan semalam, kekal berkuat kuasa sehingga diberitahu kelak.
Wisma Putra menambah bahawa di negara-negara lain yang terjejas, termasuk Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Oman, Qatar, Kuwait, Jordan, Syria dan Cyprus, situasi keselamatan keseluruhan kekal stabil walaupun terdapat insiden keselamatan udara yang terpencil di kawasan tertentu.
“Tiada rakyat Malaysia yang tercedera, dan semua warganegara yang dihubungi kekal selamat. Perwakilan Malaysia terus menyalurkan bantuan konsular, termasuk penyelarasan penginapan sementara dan urusan perjalanan,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Wisma Putra berkata Kedutaan Besar Malaysia di Baku, Azerbaijan, telah meningkatkan tahap pemantauan sebagai langkah berjaga-jaga berikutan kemungkinan pelarasan penerbangan susulan perkembangan ruang udara serantau sejak Ahad.
“Walaupun ruang udara negara itu terus beroperasi seperti biasa dan situasi keselamatan keseluruhan kekal stabil, Kedutaan telah mengeluarkan panduan perjalanan secara pencegahan agar rakyat Malaysia menyemak perancangan perjalanan dan berhubung dengan syarikat penerbangan masing-masing,” menurutnya.
Sementara itu, Wisma Putra berkata sebagai langkah berjaga-jaga berdasarkan nasihat kerajaan tuan rumah, beberapa Perwakilan Diplomatik Malaysia di rantau berkenaan sedang melaksanakan pengaturan kerja jarak jauh.
“Bagaimanapun, semua perkhidmatan konsular kekal beroperasi dan bantuan kepada rakyat Malaysia diteruskan tanpa gangguan,” menurutnya.
Bilik Operasi Kementerian Luar di Putrajaya kekal diaktifkan sepenuhnya dan berfungsi sebagai pusat penyelarasan semua usaha konsular.
Rakyat Malaysia di kawasan terjejas digalakkan untuk mendaftar keberadaan mereka melalui e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my bagi memudahkan komunikasi dan penyaluran bantuan tepat pada masanya.
Bagi bantuan konsular kecemasan, rakyat Malaysia yang tidak dapat menghubungi Perwakilan Malaysia boleh menghubungi Bilik Operasi Kementerian secara terus di talian +603-8887 4570 atau melalui e-mel dutyofficer@kln.gov.my. – Bernama