Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Mufti baharu tekad galas amanah dengan jujur dan penuh hikmah
  • TEMPATAN

Mufti baharu tekad galas amanah dengan jujur dan penuh hikmah

Utusan Sarawak 5 hours ago
MUFTI Sarawak, Datuk Khalidi Ibrahim ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Tugas Mufti Sarawak di Dewan Kompleks Islam Sarawak, di Kuching hari ini.

KUCHING: Mufti Sarawak yang baharu, Datuk Khalidi Ibrahim menzahirkan rasa syukur dan rendah hati atas pelantikan beliau serta beriltizam untuk memimpin institusi Fatwa Sarawak dengan penuh kejujuran, keikhlasan dan tanggungjawab.

Beliau berkata, amanah yang diberikan oleh kepimpinan tertinggi negeri merupakan satu tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh hikmah demi memastikan institusi fatwa terus dihormati dan diyakini masyarakat.

“Saya merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT dan mengucapkan terima kasih khususnya kepada pimpinan kerajaan Sarawak, Yang di-Pertua Negeri Sarawak serta Premier Sarawak dan seluruh kepimpinan atas kepercayaan untuk saya memimpin institusi yang berprestij ini.

“Saya menerima pelantikan ini dengan penuh kesyukuran dan memohon doa daripada semua agar saya dapat melaksanakan tugas dan amanah ini dengan jujur, amanah, ikhlas, penuh hikmah serta bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Tugas Mufti Sarawak di Dewan Kompleks Islam Sarawak, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai perancangan awal selepas dilantik, Khalidi berkata beliau akan meneruskan usaha dan pendekatan yang telah dilaksanakan oleh mantan Mufti Sarawak, Datuk Kipli Yassin.

“Setakat ini, kita akan meneruskan usaha-usaha yang telah dilaksanakan sebelum ini dan insya-Allah akan terus menggalas amanah ini dengan penuh tanggungjawab,” ujarnya ringkas.

Datuk Khalidi Ibrahim secara rasmi dilantik sebagai Mufti Sarawak berkuat kuasa semalam, sekali gus meneruskan kepimpinan bekas mufti, Datuk Kipli Yassin yang tamat tempoh perkhidmatan pada 28 Februari 2026.

Khalidi, 58, mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam perkhidmatan bersama kerajaan Sarawak sejak 9 Julai 1994 dan dilihat berkelayakan untuk menerajui institusi fatwa negeri

Selepas bersara wajib pada 2024, beliau dilantik secara kontrak sebagai Pakar Rujuk Syariah di Jabatan Mufti Sarawak bermula 1 Julai 2024 hingga 28 Februari 2026.

Sebelum itu, beliau pernah menyandang jawatan Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dari 2016 hingga 2017 sebelum dilantik sebagai Pengarah JAIS bagi tempoh 2018 hingga 2024.

Sepanjang perkhidmatan, beliau menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Darjah Jasa Bakti Sarawak (DJBS) yang membawa gelaran Datu pada 2023, Pingat Perkhidmatan Cemerlang (Emas) pada 2019, Pegawai Bintang Kenyalang (2017), Pingat Perkhidmatan Bakti (Perak) (2009) serta Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (1998, 2003, 2008 dan 2016).

Oleh Shahrul Qaizat

Continue Reading

Previous: Pelantikan mufti baharu tegaskan kepimpinan institusi Fatwa Sarawak
Next: PKR Sarawak perkukuh jentera hadapi PRN

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.