

BINTANGOR: Perhimpunan Tahun Baharu Cina Persatuan Klan Deng menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan dan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli persatuan dari pelbagai bahagian negeri ini.
Hadir bagi memeriahkan majlis tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.
“Saya amat gembira dan berbesar hati kerana dapat bersama-sama meraikan sambutan Tahun Baharu Cina dengan ahli-ahli Persatuan Klan Deng yang hadir dari pelbagai bahagian negeri ini.
“Saya memuji semangat kerjasama yang kukuh dalam kalangan ahli persatuan yang sentiasa berganding bahu menjayakan pelbagai program kebajikan, kebudayaan dan kemasyarakatan demi manfaat generasi kini dan akan datang,” katanya ketika berucap di majlis tersebut bertempat di salah sebuah restoran, baru-baru ini.

Katanya, persatuan seperti Klan Deng memainkan peranan penting dalam memelihara warisan budaya, adat resam serta nilai kekeluargaan yang menjadi asas kekuatan sesebuah masyarakat
“Perpaduan yang terus dipupuk dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Sarawak turut menjadi contoh terbaik keharmonian dalam kepelbagaian, sekali gus menyumbang kepada kestabilan dan kemajuan negeri,” katanya.
Sebagai tanda sokongan terhadap usaha dan komitmen persatuan tersebut, Datuk Ding turut mengumumkan penyaluran geran khas Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM10,000.
Katanya, sumbangan tersebut bertujuan membantu persatuan melaksanakan aktiviti tahunan, termasuk program kebudayaan, perhimpunan keluarga dan inisiatif kebajikan untuk ahli-ahli yang memerlukan.
“Saya berharap agar sumbangan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi memperkukuhkan lagi peranan persatuan sebagai wadah penyatuan masyarakat serta platform mempererat hubungan antara generasi muda dan warga emas dalam komuniti,” katanya lagi.
Turut hadir, Penaung Persatuan Klan Deng, Datuk David Teng Lung Chii; Pengerusi Pengelola, Teng Ung Woo; Pegawai Daerah Meradong, Wee Teck Min dan Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering.
Oleh Earl Anek