
SARIKEI: Usaha berterusan menaik taraf kemudahan sekolah membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan pendidikan berkualiti terus dinikmati generasi muda di kawasan Parlimen Sarikei dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Repok.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas sekolah sentiasa diberi perhatian bagi menjamin keselesaan serta keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.
“Setiap usaha dan pengorbanan hari ini merupakan asas penting dalam membentuk generasi yang bakal menjadi tonggak pembangunan negara pada masa hadapan.

“Saya berharap para murid sentiasa berani menghadapi cabaran serta rajin menuntut ilmu demi masa depan yang lebih cemerlang,” katanya ketika merasmikan Majlis Ramah Angpao SJKC Su Ming 2026 sempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) anjuran Lembaga Pengurusan Sekolah tersebut, baru-baru ini.
Tiong Sii turut merakamkan penghargaan kepada para guru atas dedikasi dan komitmen berterusan dalam mendidik anak bangsa, selain menzahirkan terima kasih kepada ibu bapa yang sentiasa memberikan sokongan padu kepada pihak sekolah.
“Kejayaan pendidikan memerlukan kerjasama erat antara sekolah dan keluarga.
“Sepanjang tempoh perkhidmatan saya sebagai wakil rakyat, pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi meningkatkan kemudahan sekolah termasuk menaiktaraf infrastruktur, membantu penyediaan kelengkapan persekolahan dan menambah baik kemudahan asas demi keselesaan guru dan murid,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa peruntukan kerajaan terus disalurkan bagi pembangunan infrastruktur asas serta kemudahan pendidikan di kawasan Parlimen Sarikei dan Repok demi menjaga kebajikan rakyat secara menyeluruh.
Tiong Sii turut menyumbangkan sumbangan berjumlah RM30,000 kepada pihak sekolah sebagai tanda sokongan berterusan terhadap pembangunan pendidikan.
Oleh Earl Anek