
PETRA JAYA: Tiada penangkapan bagi rakyat Islam di Sarawak yang tidak berpuasa telah dicatatkan setakat ini yang memasuki hari ke-11 Ramadan.
Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Bagi Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU Dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata perkara ini menunjukkan umat Islam di Sarawak mematuhi tanggungjawab wajib untuk berpuasa.
“Bagi mereka yang tidak dapat berpuasa atas sebab-sebab tertentu, mereka dinasihatkan untuk tidak makan di kawasan keramaian,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Agihan Bubur Pedas Kejiranan Mesra Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di Tebingan Sungai BGS, Kampung Sourabaya Ulu, hari ini.
Tambah beliau, pihaknya melalui agensi-agensi Islam juga sering menasihati umat Islam Sarawak untuk menunaikan kewajipan berpuasa.
Katanya, satu pasukan pemantauan dan penguatkuasaan juga telah digerakkan dari semasa ke semasa dalam usaha menguatkuasakan kewajipan.
-UKAS