
MIRI: Ahli Parlimen Miri yang juga Timbalan Menteri di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Chiew Choon Man, mengangkat kisah pengorbanan seorang jurulatih tarian tradisional tempatan yang sanggup meninggalkan kerjaya korporat demi mempertahankan warisan budaya Sarawak.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkongsi cerita mengenai Zaidi Husin atau Pak Zaidi yang membuat keputusan besar dalam hidupnya apabila memilih untuk menumpukan sepenuh masa sebagai jurulatih tarian tradisional di Miri, walaupun sebelum ini menikmati kehidupan selesa dalam sektor korporat.
Menurut Chiew, Pak Zaidi berpegang kepada prinsip bahawa sejarah dan warisan lebih bernilai daripada wang ringgit.
Atas kesedaran bahawa semakin ramai generasi muda tidak lagi mengetahui cara mempersembahkan tarian tradisional, beliau tekad mempelajari dan mengajar pelbagai tarian etnik Sarawak bagi memastikan seni tersebut terus diwarisi.
Hasil dedikasi bertahun-tahun, Pak Zaidi berjaya melatih lebih 500 penari tradisional sehingga ke tahap profesional, sekali gus menyumbang kepada kelangsungan seni budaya Bumi Kenyalang.
Namun, perjuangan beliau tidak terhenti di situ.
Kira-kira 15 tahun lalu, Pak Zaidi mengambil tanggungjawab menjaga seorang kanak-kanak perempuan yang ditinggalkan keluarganya.

Kanak-kanak tersebut mengalami kerosakan saraf otak akibat demam panas yang teruk ketika kecil, menyebabkan lumpuh sepenuhnya dan tidak mampu bertutur sehingga kini.
Chiew menyifatkan pengorbanan Pak Zaidi sebagai sesuatu yang luar biasa kerana bukan sahaja berjuang mempertahankan seni tradisi, malah menggalas tanggungjawab sebagai bapa tunggal kepada anak kurang upaya.
“Saya tidak pernah melihat seorang figura lelaki yang menghadapi begitu banyak cabaran dan pengorbanan dalam hidupnya. Jasanya kepada bumi Sarawak memang tidak ternilai,” katanya.
Sebagai tanda sokongan, beliau memaklumkan akan menyalurkan sumbangan peribadi sebanyak RM350 setiap bulan bagi membantu kos penjagaan anak berkenaan.
Dalam masa sama, Chiew turut mengambil inisiatif menghidupkan semula persembahan tarian tradisional di Lapangan Terbang Miri sebagai usaha memperkukuh identiti budaya serta meningkatkan daya tarikan pelancongan Miri.
Katanya, barisan penari yang dilatih oleh Pak Zaidi akan ditempatkan di lapangan terbang tersebut untuk menyambut ketibaan pelancong dengan persembahan warisan budaya Sarawak.
Beliau berharap langkah itu bukan sahaja memberi pengalaman unik kepada pelawat, malah membantu menyediakan pendapatan lebih stabil kepada penggiat seni tempatan serta memastikan warisan budaya Sarawak terus hidup dan dihargai generasi akan datang.
Oleh Liong Chai Ling