
PETRA JAYA: Pakar Rujuk Syariah Utama di Majlis Islam Sarawak Datu Khalidi Ibrahim dilantik sebagai Mufti Sarawak yang baharu menggantikan Datu Kipli Yassin yang tamat tempoh perkhidmatannya pada 28 Februari lepas.
Perkara ini diumumkan oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Bagi Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU Dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi semasa Majlid Agihan Bubur Pedas Kejiranan Mesra Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di Tebingan Sungai BGS, Kampung Sourabaya Ulu, hari ini.
Beliau menzahirkan ucapan terima kasih atas jasa Datu Kipli Yassin yang berkhidmat lebih sedekad sebagai Mufti Sarawak terutamanya kepada agensi-agensi Islam di Sarawak.
“Sebagai seorang yang banyak pengalaman dalam bidang agama Islam, beliau (Datu Kipli Yassin) bertindak sebagai penasihat serta menjadi tempat rujukan kepada hal-hal berkaitan Islam terutamanya pengeluaran fatwa,” katanya.
Difahamkan, Datu Khalidi Ibrahim bakal menjalankan tanggungjawab bermula 2 Mac ini.
Dalam pada itu, Program Agihan Bubur Pedas Kejiranan Mesra DBKU kali ini menampilkan kelainan apabila empat jenis pek makanan diagihkan pada kali ini.
Sebanyak 700 pek bubur pedas, 500 pek bubur lambuk, 500 buah nenas dan 1000 pek Maggi telah diagihkan kepada penduduk sekitar Kampung Sourabaya Ulu serta kampung berdekatan.
Menurut beliau, pengagihan ini merupakan tradisi yang diadakan lazimnya setiap tahun semasa Ramadan di kawasan tersebut serta Kejiranan Mesra yang lain.
-UKAS