Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Pemuda Pusat SUPP membuat laporan polis berhubung penyiaran video bertajuk ‘Sarawak Buta Sejarah’
  • SEMASA

Pemuda Pusat SUPP membuat laporan polis berhubung penyiaran video bertajuk ‘Sarawak Buta Sejarah’

Utusan Sarawak 7 hours ago
LAPORAN polis….Lau (tengah sekali) bersama enam ketua pemuda di Sibu selepas membuat lapses polis di Balai Polis Sungai Merah, petang tadi.

SIBU: Pemuda Pusat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) hari ini membuat laporan polis terhadap sebuah laman Facebook dikenali sebagai Berita 757 berhubung penyiaran video bertajuk ‘Sarawak Buta Sejarah’ yang didakwa mengandungi naratif sejarah yang diseleweng serta mengelirukan.

Menurut Ketua Pemuda SUPP Pusat, Kaunselor Kevin Lau, pihaknya memandang serius penerbitan tersebut kerana ia bukan sahaja gagal mengiktiraf kedaulatan sejarah Sarawak, malah menafikan hak perlembagaan negeri ini termasuk perkara berkaitan pelantar benua.

Menurutnya, laporan tidak bertanggungjawab sedemikian berisiko mengelirukan orang ramai serta menjejaskan asas perlembagaan yang menjadi tunjang pembentukan Malaysia.

“Perkembangan perlembagaan Sarawak jelas didokumentasikan dan terbukti secara sejarah. Sarawak mempunyai tiga perlembagaan utama iaitu Perlembagaan 1941 yang diperkenalkan oleh Charles Vyner Brooke, Perlembagaan 1957 semasa pentadbiran Koloni Mahkota British, serta kerangka perlembagaan semasa selepas pembentukan Malaysia pada tahun 1963,” jelasnya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Merah, petang tadi.

Lau memberitahu, sebelum pembentukan Malaysia, Sarawak telah diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai entiti perundangan di bawah pentadbiran Brooke dan kemudiannya sebagai Koloni Mahkota British.

Dalam tempoh tersebut, katanya, Sarawak mempunyai perlembagaan sendiri, badan perundangan sendiri, mahkamah sendiri serta undang-undang yang digubal sendiri dikenali sebagai Ordinan. 

“Dari sudut sejarah dan perundangan, Sarawak berfungsi sebagai wilayah yang mempunyai sistem pentadbiran sendiri,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa Sarawak mencapai pemerintahan sendiri pada 22 Julai 1963 dengan Stephen Kalong Ningkan sebagai Ketua Menteri pertama dan tarikh tersebut kini diperingati sebagai Hari Sarawak.

Tambahnya, antara undang-undang penting yang digubal sebelum pembentukan Malaysia termasuk Ordinan Perlombongan Minyak 1954 yang mengawal selia penerokaan serta pelesenan minyak di bawah kerajaan Sarawak, serta Kanun Tanah 1958 yang mengawal pemilikan tanah dan Hak Adat Bumiputera (NCR).

Katanya, selepas pembentukan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Perkara 162 Perlembagaan Persekutuan mengekalkan undang-undang sedia ada Sarawak selagi tidak dimansuhkan atau dipinda mengikut peruntukan undang-undang.

“Segala tindakan kerajaan Sarawak dalam mempertahankan hak serta autonominya adalah berasaskan Perlembagaan Persekutuan, MA63, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) serta rangka perundangan Sarawak sendiri,” ujarnya.

Sehubungan itu, Pemuda Pusat SUPP menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap sumber individu yang dirujuk sebagai ‘pemerhati’ dalam laporan tersebut serta menentukan sama ada proses pengesahan fakta telah dibuat sebelum penerbitan.

Lau turut menggesa pihak berkuasa meneliti sama ada laporan berkenaan berpotensi menimbulkan perpecahan antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dengan memesongkan fakta sejarah yang telah lama diterima.

“Pemuda Pusat SUPP akan terus berdiri teguh mempertahankan hak Sarawak. Sarawak mesti diiktiraf sebagai salah satu entiti setara yang membentuk Malaysia pada tahun 1963. 

“Menghormati kedudukan sejarah dan perlembagaan Sarawak adalah asas penting dalam memperkukuhkan kepercayaan bersama serta memelihara perpaduan negara,” tegasnya.

Oleh Akun Giman

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Nelayan asnaf di Mersing manfaat ‘Paso Singgit’ harga terlebih Rahmah
Next: Rakyat Malaysia di Qatar dinasihat terus waspada, jangan keluar

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.