
DARO: Seramai 300 asnaf dari 15 kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Daro menerima sumbangan sempena Majlis Santunan Asnaf Ramadan Al-Mubarak 1447H yang berlangsung di Masjid Al-Muhsiniin, semalam.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad.
Safiee, yang juga Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Daro (LAKMD), berkata program berkenaan merupakan usaha berterusan dalam menjaga kebajikan golongan asnaf, khususnya bagi membantu mereka membuat persediaan menyambut Ramadan.
“Bulan Ramadan mengajar kita erti kesabaran, keinsafan dan keprihatinan terhadap golongan kurang berkemampuan. Justeru, menjadi tanggungjawab kita memastikan golongan asnaf tidak terpinggir, malah turut merasai keberkatan dan kegembiraan dalam menjalani ibadah puasa,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Menurutnya, inisiatif seperti itu bukan sahaja memberi bantuan keperluan asas, malah memperkukuh semangat kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat di Daro.
“Bantuan yang disampaikan mungkin tidak seberapa, namun diharap dapat meringankan beban penerima serta memberi kegembiraan kepada mereka dan keluarga sepanjang Ramadan. Apa yang lebih penting ialah semangat kebersamaan dan keprihatinan yang terus dipupuk,” ujarnya.
Pada majlis tersebut, Safiee turut menyampaikan sumbangan tunai dan buah kurma kepada para penerima, selain pek beras lima kilogram hasil sumbangan Daro Freshmart Prosper Sdn Bhd bagi membantu menampung keperluan harian sepanjang Ramadan.
Majlis diserikan dengan tazkirah bertajuk ‘Ramadan Membina Kekuatan Ummah’ yang disampaikan oleh Pegawai Agama Islam Daerah Daro, Al-Fadhil Ustaz Anas Sarip.
Turut hadir, Residen Bahagian Mukah, Datu Kueh Lei Poh, Pegawai Daerah Daro, Zul Usup dan Ketua Polis Daerah Matu-Daro, DSP Rahim Mihos,
Oleh Akun Giman