Alexis Mac Allister (kiri) dan Hugo Ekitike menjaringkan gol daripada sepakan penjuru ketika Liverpool membelasah West Ham 5-2. - Foto AFP
LIVERPOOL: Pengurus Liverpool, Arne Slot menegaskan kebangkitan pasukannya menerusi situasi bola mati musim ini sebagai satu ‘kembali normal’ meskipun mengakui mereka pernah beraksi lebih baik dalam beberapa perlawanan yang berakhir dengan kekalahan.
Kenyataan itu hadir selepas kemenangan bergaya 5-2 ke atas West Ham United awal pagi tadi dengan tiga gol daripada sepakan penjuru pada separuh masa pertama — sesuatu yang hanya kali kedua berlaku dalam sejarah Liga Perdana.
Gol daripada Hugo Ekitike, Virgil van Dijk dan Alexis Mac Allister meletakkan juara England itu di kedudukan selesa sebelum rehat.
Trend itu sebenarnya sudah kelihatan sejak beberapa minggu lalu apabila Van Dijk turut menjaringkan gol di laman Sunderland dan Bournemouth, manakala Ibrahima Konate meledak daripada sepakan penjuru ketika menang 4-1 ke atas Newcastle United.
Dominik Szoboszlai pula membuka tirai jaringan menerusi sepakan percuma menarik dalam kekalahan 2-1 kepada Manchester City.
Liverpool berubah daripada pasukan paling teruk dalam liga dari segi perbezaan jaringan bola mati pada penghujung 2025 kepada yang terbaik setakat 2026.
“Amat menggembirakan kerana itulah sebab utama kami menang. Orang kata kami bermain baik, tetapi pada pandangan saya kami pernah bermain lebih baik ketika kalah dan ketika dibolosi daripada bola mati,” kata Slot.
“Separuh pertama musim ini, hampir setiap bola mati yang kami benarkan berakhir dengan gol. Kini kami mula menjaringkan gol daripada situasi itu dan segalanya nampak lebih cerah.”
Slot turut memperkecilkan kesan pemecatan jurulatih bola mati, Aaron Brighs, hujung tahun lalu.
“Kami cipta banyak peluang pada separuh pertama musim tetapi terlalu banyak yang tidak menjadi gol. Mungkin ada satu dua perincian kecil berubah dari segi pertahanan dan serangan — susunan kami sedikit berbeza — tetapi sebab terbesar ialah keadaan kembali normal,” tambahnya.
Kemenangan itu melonjakkan Liverpool ke tangga kelima liga sekali gus kembali berada di landasan terbaik untuk layak ke Liga Juara-Juara UEFA musim depan, dengan kelompok lima teratas hampir pasti meraih tiket susulan prestasi cemerlang kelab England di pentas Eropah musim ini. – AFP.