Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Gempa bumi terkuat selepas Ranau, tetapi mengapa impak lebih kecil?
  • NASIONAL

Gempa bumi terkuat selepas Ranau, tetapi mengapa impak lebih kecil?

Utusan Sarawak 6 hours ago

KUALA LUMPUR:  Secara teorinya, gempa bumi bermagnitud 6.8 yang menggegar Sabah pada 23 Februari lalu mampu mencetuskan malapetaka berskala besar.

Gempa bumi yang berlaku di perairan Kota Kinabalu pada 12:57 pagi itu direkodkan sebagai antara gempa bumi terkuat pernah dikesan di Malaysia. Namun, tiada kehilangan nyawa atau kerosakan struktur yang ketara dilaporkan.

Situasi ini jauh berbeza dengan tragedi gempa bumi Ranau pada 5 Jun 2015. Meskipun bermagnitud lebih rendah iaitu 6.0, ia meragut 18 nyawa dan meninggalkan kesan kemusnahan yang mendalam.

Persoalannya, mengapakah gempa bumi bermagnitud lebih rendah itu mengakibatkan kemusnahan yang begitu ketara berbanding gempa yang jauh lebih kuat?

Jawapannya terletak pada kedalaman pusat gempa tersebut.

Berpusat Hampir 700km di Perut Bumi

Dalam sains seismik, faktor kedalaman memainkan peranan yang sama kritikal dengan magnitud, jelas pakar geologi gempa bumi Navakanesh M Batmanathan kepada Garasi Bernama.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan pusat gempa berada pada kedalaman kira-kira 678km, manakala Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) mencatatkan sekitar 620km. Walaupun terdapat perbezaan angka, gempa ini tetap diklasifikasikan sebagai gempa bumi fokus-dalam (deep-focus earthquake).

Sebagai konteks, kedalaman gempa bumi dikategorikan seperti yang berikut:

  • Cetek (Shallow): 0–70km
  • Pertengahan (Intermediate): 70–300km
  • Dalam (Deep): 300–700km

“Gempa baru-baru ini sangat dalam. Jika ia berlaku di aras cetek – iaitu kurang daripada 30km – kita mungkin terpaksa berdepan senario kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa,” kata Batmanathan yang berkhidmat di Institut Penyelidikan Pencegahan Bencana Asia Tenggara, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Malah, gempa Sabah yang berlaku baru-baru ini berlaku pada kedalaman yang hampir pada had maksimum. Ini kerana jarang sekali gempa bumi berpusat pada kedalaman melangkaui paras 700km.

Sebagai perbandingan, gempa Ranau 2015 berlaku pada kedalaman yang sangat cetek, iaitu sekitar 10km sahaja. Disebabkan kedalaman yang amat hampir dengan permukaan dan berdekatan kawasan berpenduduk, impak gegarannya dirasai dengan cukup ekstrem.

Meskipun magnitudnya lebih rendah, gempa 2015 itu mencetuskan runtuhan batuan di Gunung Kinabalu yang mengorbankan nyawa 18 pendaki, sekali gus menjadikannya antara bencana alam paling signifikan di negara sejak beberapa dekad lalu.

Untuk lebih memahami impak kedalaman gempa bumi ke atas permukaan, bayangkan satu meja tinggi dengan permukaan tebal yang menerima hentaman dari atas dan dari paras lantai.

Hentaman di permukaan menghasilkan getaran yang tajam dan serta-merta. Walaupun hentaman kuat dari bawah meja mampu menggegarkan meja tersebut, impak yang dirasakan di bahagian permukaan akibat hentaman itu adalah jauh lebih rendah.

Begitu juga dengan gempa bumi. Apabila ia berlaku beratus-ratus kilometer di bawah permukaan, gelombang seismik perlu bergerak merentasi jarak menegak yang sangat jauh sebelum sampai ke kawasan penempatan. Sepanjang perjalanan itu, sebahagian besar tenaga yang berpotensi membawa kemusnahan akan tersebar dan berkurangan.

Faktor kedalaman gempa tersebut turut memastikan tiada anjakan dasar laut yang signifikan berlaku bagi mencetuskan tsunami, kata Batmanathan.

Mengapa Angka Magnitud Berbeza?

Sejurus selepas kejadian, MetMalaysia melaporkan gempa bumi itu bermagnitud 6.8, namun USGS meletakkannya pada 7.1.

“Ini kerana agensi tempatan seperti MetMalaysia menggunakan rangkaian stesen pemantauan yang lebih dekat dengan episenter (pusat gempa),” kata Batmanathan.  “USGS pula mengambil kiraan purata global daripada ratusan stesen pemantauan di seluruh dunia.”

(Oleh kerana magnitud dikira berdasarkan amplitud gelombang, jarak, dan andaian pemodelan, perbezaan kecil boleh berlaku bergantung kepada set data yang digunakan. Variasi antara 0.2 hingga 0.3 dalam bacaan magnitud adalah perkara lumrah dalam pelaporan seismik global.)

Magnitud gempa bumi diukur menggunakan skala logaritma. Ini bermakna setiap kenaikan satu angka bulat mewakili lonjakan besar dalam jumlah tenaga yang dibebaskan.

Sebagai contoh, gempa bumi bermagnitud 7.0 membebaskan kira-kira 32 kali ganda lebih tenaga berbanding magnitud 6.0. Secara ringkasnya, gempa bumi Sabah pada 23 Februari lalu membebaskan jauh lebih banyak tenaga di puncanya berbanding gempa bumi Ranau 2015.

Bagaimanapun, magnitud hanya mengukur jumlah tenaga keseluruhan yang dilepaskan di bawah tanah, bukannya tahap kemusnahan di permukaan bumi.

Tahap kemusnahan bergantung kepada beberapa faktor tambahan, termasuk:

  • Kedalaman gempa bumi
  • Jarak dari kawasan berpenduduk
  • Keadaan tanah dan bumi tempatan
  • Reka bentuk bangunan dan ketahanan struktur
  • Tempoh dan intensiti gegaran

Dalam kes ini, faktor dengan impak paling signifikan adalah kedalaman.

Geologi Sabah Memungkinkan Gempa Kuat Berlaku

Kedudukan geologi Sabah menjadi kunci utama bagi menjelaskan mengapa gempa bumi kerap berlaku di negeri itu, namun pada masa yang sama, jarang mengakibatkan jumlah kemalangan jiwa yang tinggi.

Berbeza dengan Semenanjung Malaysia yang terletak di atas Pentas Sunda yang secara relatifnya lebih stabil, Sabah berada dalam persekitaran geologi yang jauh lebih kompleks, kata Batmanathan.

Sabah terletak berhampiran kawasan yang dikenali saintis sebagai wilayah “pertemuan tiga” (triple junction), iaitu satu kawasan yang dipengaruhi oleh interaksi tiga plat tektonik utama: Plat Eurasia, Plat Indo-Australia, dan Plat Laut Filipina.

“Pergerakan dan pertembungan plat ini mengakibatkan pengumpulan tekanan dalam kerak bumi. Tambahan pula, terdapat sistem sesar aktif yang merentasi wilayah Borneo, yang berkemungkinan diaktifkan semula akibat daya sempadan plat pada masa kini,” jelasnya.

Selain daripada interaksi plat masa kini, aktiviti seismik di Sabah juga dikaitkan dengan proses subduksi purba. Subduksi berlaku apabila satu plat tektonik dipaksa menyusup ke bawah plat yang lain, lalu tenggelam jauh ke dalam mantel bumi.

Meskipun sesetengah zon subduksi ini tidak lagi aktif di permukaan, sisa-sisa kepingan (slab) yang menjunam masih mampu mencetuskan gempa bumi beratus-ratus kilometer di bawah tanah.

Gempa bumi fokus-dalam pada 23 Februari berkemungkinan besar dikaitkan dengan proses tektonik purba sedemikian, dan bukannya disebabkan oleh pergerakan sesar di peringkat permukaan, kata Batmanathan yang berkepakaran dalam pemetaan garis sesar aktif dan menganalisis pergerakan tanah secara menegak susulan fenomena kenaikan aras laut.

Beberapa kajian juga telah meneroka bagaimana runtuhan graviti serta julangan (uplift) yang dikaitkan dengan Gunung Kinabalu mungkin mempengaruhi corak tekanan di rantau itu.

Perlukah Rakyat Malaysia Bimbang?

Meskipun kuat, gempa bumi dalam seperti yang melanda Sabah baru-baru ini lazimnya tidak membawa impak seteruk gempa bumi dengan kedalaman cetek.

Namun, ini tidak bermakna risikonya boleh dipandang remeh memandangkan Sabah masih merupakan zon paling aktif secara seismik di Malaysia.

Pemahaman sains di sebalik fenomena ini boleh membantu masyarakat memahami dengan lebih baik faktor penentu tahap ancaman gempa bumi, sekaligus menggalakkan pihak berkuasa mengolah langkah kesiapsiagaan yang lebih mantap. (SIDEBAR)  

Apakah itu zon subduksi?

Bayangkan permukaan bumi seperti kepingan teka-teki gergasi yang terdiri daripada bahagian-bahagian yang bergerak perlahan, dikenali sebagai plat tektonik.

Zon subduksi berlaku apabila dua daripada kepingan besar ini berlanggaran antara satu sama lain. Disebabkan salah satu daripadanya (lazimnya plat lautan) adalah lebih berat dan tumpat berbanding kepingan satu lagi (plat benua), ia bertindak seperti “pemberat” yang menjunam ke bawah plat yang lebih ringan.

Apabila plat berat ini tenggelam jauh ke dalam perut bumi yang panas, ia mewujudkan jurang laut dalam. Ia kemudiannya dikitar semula menjadi batuan lebur dan membina tekanan luar biasa yang akhirnya dilepaskan sebagai gempa bumi yang kuat atau menjadi punca kepada kemunculan gunung berapi di permukaan.- Bernama

Continue Reading

Previous: Tular 1 Syawal jatuh Jumaat, masyarakat dinasihat tidak buat spekulasi
Next: Bila puding Khairul Aming jadi ikon perpaduan Ramadan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.