KUCHING: Kerajaan negeri Sarawak telah meluluskan pembinaan taman agro di Lubok Tamang di Saribas, kira-kira 182 kilometer (km) dari sini, yang memberi peluang keemasan kepada mereka yang berminat dengan aktiviti pertanian moden.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas (gambar) berkata, petani yang tinggal di kawasan rumah panjang dan kampung berdekatan juga digalakkan untuk memohon lot pertanian sesuai di taman agro yang mempunyai keluasan 1,400 hektar itu.
“Maklumat lanjut mengenai taman agro berkenaan akan dimaklumkan kepada penduduk tempatan tidak lama lagi,” katanya pada majlis pelancaran Program Jangkauan Pengembangan Komuniti Pertanian (AgriCOP) di Rumah Panjang Kamarau, kira-kira 200km dari Kuching.
Mengenai potensi pertanian baharu di Saribas, Uggah berkata antaranya seperti penanaman nanas, pisang dan kelapa.
“Terdapat juga tanaman lain seperti halia, cili dan penternakan. Petani perlu belajar mempelbagaikan aktiviti untuk mengelakkan kejatuhan harga komoditi,” katanya.
Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah negeri berkata Sarawak mempunyai masa depan cerah kerana beberapa hasil produk negeri itu telah menembusi pasaran Singapura dan China.
“Ini (pasaran) adalah tidak jauh dari pertanian moden dan kerajaan cuba pastikan hasil petani dapat dijual.
“Di peringkat tempatan, organisasi petani kawasan adalah pembeli, namun kami sedang pertimbangkan untuk melantik syarikat utama yang mempunyai hubungan pasaran antarabangsa,” katanya.
Pada majlis berkenaan, Uggah turut mengumumkan peruntukan menerusi Tabung Kemudahan Pertanian berjumlah RM500,000 untuk membantu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Saribas Mohd Razi Sitam menjalankan lebih banyak program pertanian.
Dalam ucapannya, Mohd Razi mengucapkan terima kasih kepada Uggah dan kerajaan negeri atas persetujuan untuk membina taman agro di Lubok Tamang, dan meminta agar graduan yang baharu menamatkan pengajian menyahut cabaran menceburi bidang usahawan tani.- Bernama