Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Eksklusif: Operasi bersepadu Batang Sadong: Memburu ‘Raja Sungai’ dan mengawal konflik manusia-buaya
  • TEMPATAN

Eksklusif: Operasi bersepadu Batang Sadong: Memburu ‘Raja Sungai’ dan mengawal konflik manusia-buaya

Utusan Sarawak 7 hours ago
TANGKAP layar daripada video orang awam ketika buaya tersebut ditemui hari ini.

SADONG JAYA: Deruan enjin bot memecah sunyi Batang Sadong ketika 11 perangkap berumpan ayam dipasang di beberapa lokasi strategik sepanjang sungai itu.

Di sebalik operasi yang kelihatan rutin, tersirat kebimbangan penduduk susulan kes serangan buaya yang melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun baru-baru ini.

Operasi bersepadu antara Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dan Sarawak Crocter kini memasuki fasa agresif bagi mengawal populasi buaya di Batang Sadong dan kawasan sekitarnya.

Tiga hari, tiga tangkapan

Setakat hari ketiga operasi, tiga ekor buaya berjaya ditangkap, termasuk spesimen sepanjang enam kaki dan 14 kaki pada hari pertama dan kedua.

Terkini, perangkap yang dipasang di Ensengei berjaya menumpaskan ‘buaya viral’ yang sebelum ini dirakam orang awam dan tular di media sosial.

Dua hari lalu, seekor buaya sepanjang 4.37 meter (14 kaki 4 inci) turut berjaya ditangkap di Sungai Bulu, Sadong Jaya, sekitar 10.00 pagi. Reptilia itu didapati mempunyai ekor yang terputus, dipercayai akibat pergelutan dengan buaya lain.

Operasi yang turut melibatkan pasukan SWAT SFC itu akan diteruskan sehingga 9 Mac bagi memastikan kawasan benar-benar selamat.

“Cabaran sebenar bukan buaya, tapi manusia” – Francis Chai

Bagi Pengasas Sarawak Crocter, Francis Chai, operasi memburu buaya bukan perkara baharu. Sejak 2017, beliau aktif membantu pihak berkuasa mengawal populasi reptilia itu.

Namun menurutnya, cabaran terbesar bukanlah keganasan buaya.

“Barangan perangkap kami selalu dicuri orang tidak bertanggungjawab. Itu yang paling menjejaskan kos operasi,” katanya dalam wawancara eksklusif.

Setiap perangkap yang hilang bukan sahaja melibatkan kerugian kewangan, malah menjejaskan keberkesanan operasi dan keselamatan komuniti.

Beliau turut mendedahkan satu lagi cabaran unik di Sarawak, kepercayaan masyarakat.

“Ada penduduk tahu lokasi sarang buaya, tapi enggan beritahu. Mereka takut ‘buaya akan balas dendam’. Kepercayaan itu masih kuat dalam sesetengah komuniti,” jelasnya.

Keengganan berkongsi maklumat menyukarkan pasukan mengenal pasti kawasan pembiakan aktif, sekali gus melambatkan tindakan pencegahan.

Sisa makanan mentah: ‘Umpan’ tanpa disedari

Menurut Francis, antara punca utama peningkatan konflik manusia-buaya adalah sikap segelintir masyarakat yang membuang sisa ke dalam sungai, khususnya sisa makanan mentah.

“Buaya suka lepak di kawasan kampung sebab tahu ada makanan berdekatan. Lepas makan, ia akan rehat di kawasan sama,” katanya.

Dalam satu hantaran media sosial, beliau berkongsi gambar objek yang ditemui dalam perut buaya, termasuk sampah dan sisa makanan.

Beliau menegaskan, tindakan membuang sampah ke sungai sebenarnya ‘mengundang’ pemangsa itu menghampiri penempatan manusia.

“Kalau tidak cukup makanan, buaya boleh naik hingga ke kawasan rumah mencari ternakan. Bila jadi apa-apa, orang salahkan pihak lain,” tegasnya.

Isu ‘tembak’ dan lesen memburu

Francis turut menjelaskan kekeliruan masyarakat berhubung kaedah menembak buaya.

Menurutnya, tembakan yang tidak tepat boleh menyebabkan buaya cedera tetapi tidak mati, sekali gus menjadikannya lebih agresif.

Beliau menegaskan bahawa operasi dijalankan secara sah dan berlesen. Pada 2017, kuota lesen beliau hanya membenarkan enam ekor buaya diburu setiap enam bulan.

Setahun kemudian, kuota meningkat kepada 20 ekor setahun sehingga kini.

Tahun ini, beliau berharap kuota tersebut dapat ditambah bagi membolehkan lebih banyak operasi bersepadu dan persendirian dilaksanakan.

“Kalau berani dan ada lesen, buatlah secara sah. Lesen cuma RM100 setahun,” katanya, sambil menyatakan kesediaan membantu individu yang benar-benar mahu terlibat secara sah.

Kawalan populasi atau ancaman berterusan?

Batang Sadong bukan satu-satunya kawasan mencatat peningkatan interaksi manusia dan buaya. Namun operasi bersepadu kali ini dilihat sebagai langkah tegas dan terancang.

SFC menegaskan operasi dijalankan bagi mengurangkan risiko kepada penduduk tanpa menjejaskan keseimbangan ekosistem.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada ketika menjalankan aktiviti berhampiran sungai dan tidak membuang sisa ke dalam perairan.

Di sebalik ketakutan dan mitos, hakikatnya pengurusan konflik manusia-buaya memerlukan kerjasama semua pihak, penguatkuasa, pemburu berlesen dan komuniti setempat.

Kerana di Batang Sadong, setiap sisa yang dibuang mungkin menjadi ‘jemputan’ kepada sang pemangsa.

Rasai sendiri pengalaman memburu buaya

Penulis berpeluang mengikuti sendiri operasi pemburuan bersepadu di sepanjang Batang Sadong dan menyaksikan bagaimana setiap perangkap dipasang dengan penuh teliti di lokasi yang dikenal pasti sebagai laluan aktif buaya. Proses itu bukan sekadar meletakkan umpan dan menunggu hasil, sebaliknya memerlukan pemerhatian arus sungai, tanda pergerakan reptilia serta penilaian risiko keselamatan pasukan.

Hakikatnya, operasi sebegini bukan mudah. Anggota yang terlibat berdepan risiko tinggi, termasuk kemungkinan diserang buaya yang agresif, keadaan arus sungai yang tidak menentu serta faktor cuaca. Setiap pergerakan perlu dilakukan dengan berhati-hati kerana kesilapan kecil boleh mengundang padah.

Apa yang lebih mencabar, operasi sering dijalankan sehingga lewat malam atau seawal subuh, waktu buaya lebih aktif. Ketika kebanyakan masyarakat berada dalam keadaan selesa, pasukan ini berada di tengah sungai, mempertaruhkan keselamatan diri demi memastikan komuniti setempat dapat menjalani kehidupan harian tanpa dihantui ancaman pemangsa tersebut.

Usaha mereka wajar dihargai kerana sanggup merisikokan diri demi kesejahteraan rakyat. Dalam polemik antara pemuliharaan hidupan liar dan keselamatan manusia, operasi bersepadu seperti ini membuktikan bahawa pendekatan terkawal dan berlesen adalah jalan tengah terbaik bagi memastikan keselamatan awam terus terpelihara tanpa mengabaikan tanggungjawab terhadap alam sekitar.

Oleh Shahrul Qaizat

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Bazar Ramadan di Pasar Dayak jadi tumpuan, tampil juadah tradisi Semenanjung
Next: Premier Sarawak ziarah pusara ayah dan ibunya

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.