
SIBU: Sambutan Tahun Baharu Cina bukan sekadar perayaan, sebaliknya melambangkan konsep ‘pertemuan keluarga’ yang menekankan nilai duduk semeja, berkongsi rezeki serta mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, semangat kekeluargaan itu selari dengan perjuangan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang bermula di Sibu pada 1959 dan kini telah melalui perjalanan lebih enam dekad.
“Perjuangan yang dimulakan sejak 1959 telah membawa perubahan besar kepada Sarawak. Jika dahulu ada pihak memandang rendah, kini ramai yang memandang tinggi serta menaruh harapan kepada Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, penghormatan yang diterima Sarawak pada hari ini bukan disebabkan kepimpinan semata-mata, tetapi hasil usaha serta pencapaian rakyat negeri ini dalam pelbagai bidang.
“Saya merakamkan penghargaan kepada penjawat awam dan semua pihak yang menyumbang kepada pembangunan Sarawak,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan terpaksa memendekkan kehadirannya di Sibu bagi menghadiri perbincangan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Kuala Lumpur bersama pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
Turut hadir ialah isterinya, Datin Amar Enn Ong Lee, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan, Datuk Michael Tiang Ming Tee, ADUN Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek, ADUN Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, Ketua Pemuda SUPP Pusat merangkap Pengerusi SUPP Bawang Assan, Kevin Lau Kor Jie serta yang lain.
Oleh Akun Giman