
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang membekukan pengeluaran lesen kontraktor gred G1 bumiputera, sebaliknya akan memperketat proses kelulusan dengan mengutamakan pemohon dalam kalangan lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, langkah itu penting bagi memastikan industri pembinaan negara terus dipacu oleh pelapis muda yang benar-benar terlatih dan memiliki kemahiran teknikal.
“Oleh itu, kita berpandangan lepasan TVET perlu diberi kemudahan untuk mereka mendapatkan lesen G1 ini berbanding mereka yang langsung tidak ada kepakaran,” katanya pada sidang media selepas sesi dialog bersama kontraktor gred G1 bumiputera di sini hari ini.
Beliau berkata, setakat 4 Februari lepas, terdapat 137,680 kontraktor berdaftar di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, katanya 66,233 adalah pemegang lesen G1, dengan 72 peratus atau 47,575 merupakan kontraktor bumiputera.
Ahmad berkata, institusi di bawah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) seperti Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan pelbagai institusi TVET lain memainkan peranan besar dalam melahirkan tenaga kerja mahir bagi sektor berkenaan.
Walaupun keutamaan kini diberikan kepada golongan tersebut, beliau berkata Kementerian Kerja Raya masih bersikap terbuka dan sama sekali tidak menghalang individu tanpa latar belakang TVET yang berminat untuk menceburi industri pembinaan.
“… tetapi bukanlah kita menutup peluang kepada mereka yang tidak ada kepakaran. Sebab mereka juga boleh menghadiri kursus-kursus pendek yang dilaksanakan oleh CIDB,” katanya.
Pada sesi dialog, Ahmad memohon setiap wakil persatuan mengemukakan memorandum berhubung cadangan menambah baik syarat dan proses pendaftaran kontraktor G1 bumiputera serta cabaran persaingan industri semasa. – Bernama