
SIBU: Insiden runtuhan bangunan di Jalan Pahlawan telah diklasifikasikan sebagai bencana alam dan kini diletakkan di bawah pengurusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bagi memastikan tindakan yang lebih selaras.
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, keputusan itu dibuat selepas satu taklimat diberikan kepada kabinet Sarawak, sebelum Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memutuskan supaya kes berkenaan dikendalikan di bawah JPBN.
“Di peringkat negeri, ia berada di bawah JPBN, manakala di peringkat bahagian, ia dikendalikan oleh JPBN Bahagian. Sebab itu Residen akan menyelaras semua perkara berkaitan.
“Kabinet turut bersetuju supaya siasatan menyeluruh dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian, dengan penglibatan pakar yang bersesuaian memandangkan implikasinya mungkin lebih besar daripada sekadar runtuhan bangunan tersebut,” jelasnya kepada pemberita semasa meninjau lokasi kejadian, hari ini.

Menyentuh tentang projek Pembangunan Semula Bukit Assek, Dr Sim memberitahu, telah mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Perancangan Negeri (SPA) dan kini diletakkan sepenuhnya di bawah Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA).
Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, sebanyak RM30 juta telah dibelanjakan bagi yuran perunding, di mana ini menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri terhadap pelaksanaan projek berkenaan.
“Premier sendiri telah mempengerusikan jawatankuasa yang mengendalikan projek tersebut dan menjadikan Sibu sebagai destinasi pertama lawatan beliau selepas pilihan raya pada Januari 2022 bagi menubuhkan jawatankuasa berkaitan Pembaharuan Bandar Bukit Assek,” ujarnya.
Katanya, kawasan itu meliputi keluasan kira-kira 815.45 ekar, dengan siling peruntukan sebanyak RM500 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi tujuan pengambilan tanah.
“Perancangan projek Pembangunan Semula Bukit Assek merangkumi aspek saliran, penentuan kawasan rendah serta pengelasan semula tanah yang sesuai dan tidak sesuai untuk pembangunan, khususnya kerana kawasan tersebut terletak di atas tanah gambut.
“Sebuah firma perunding antarabangsa dari Denmark telah dilantik, dan perunding sama juga terlibat dalam projek di Bintulu serta Kuching,” ujarnya lagi.
Menyentuh mengenai mitigasi banjir, beliau berkata, projek seumpama itu merupakan tanggungjawab bersama kerajaan negeri dan Persekutuan, sambil menjelaskan beberapa fasa projek di Sibu telah dibiayai oleh kerajaan Persekutuan manakala fasa lain masih menunggu pembiayaan.
“Mitigasi banjir adalah kompleks dan memerlukan kepakaran khusus, dengan keseluruhan jawatankuasa dipengerusikan oleh Premier yang mempunyai kuasa untuk meluluskan peruntukan besar,” kata beliau.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Jospeh Chieng, Senator Robert Lau Hui Yew, Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting serta yang lain.
Oleh Akun Giman