
PETRA JAYA: Mufti Sarawak, Datu Kipli Yassin menamatkan perkhidmatannya selepas 16 tahun menerajui institusi fatwa negeri dengan menegaskan bahawa keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama merupakan teras utama sepanjang tempoh beliau memegang jawatan tersebut.
Beliau yang menamatkan perkhidmatan berkuat kuasa esok berkata, kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg amat bermakna sebagai tanda penghargaan terhadap kepercayaan dan keyakinan kepimpinan negeri terhadap khidmatnya selama ini.
“Saya selaku Mufti Sarawak akan bersara mulai esok hari dan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak ini satu kunjungan hormat yang sangat bermakna sebagai tanda penghargaan kepada kepercayaan dan juga keyakinan yang diberikan oleh kepimpinan negeri terhadap perkhidmatan selama ini.
“Saya terhutang budi dengan apa yang telah diberikan dan kepercayaan ini untuk memimpin institusi fatwa khususnya dan juga dari sudut institusi Islam di Sarawak,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat itu, di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, hari ini.

Datu Kipli menambah, peranan institusi fatwa bukan sekadar mengeluarkan pandangan hukum untuk umat Islam tetapi turut memastikan keputusan yang dibuat tidak menjejaskan sensitiviti masyarakat bukan Islam demi mengekalkan keharmonian negeri.
“Walaupun fatwa itu bersifat khusus kepada orang Islam namun kita juga mengambil kira supaya apa yang kita keluarkan itu tidak akan menyentuh perasaan dan hati orang yang bukan Islam. Maka dengan itu, hidup kita akan sentiasa harmoni,” jelasnya lagi.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau turut memuji sokongan kerajaan Sarawak yang disifatkan telah memperkukuh fungsi institusi fatwa sehingga mampu beroperasi secara lebih luas, sistematik dan inklusif, termasuk menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi serta keterangkuman sosial.
Katanya, pengalaman 16 tahun sebagai mufti memberi peluang untuk memahami secara mendalam realiti masyarakat di Sarawak khususnya dan Malaysia secara umum.
Mengulas tahap keharmonian di Sarawak, beliau menyifatkan hubungan antara masyarakat pelbagai agama dan kaum di negeri ini berada pada tahap yang sangat baik hasil pendekatan berhikmah, saling menghormati serta kerjasama berterusan.
Ditanya mengenai penggantinya, beliau memaklumkan bahawa calon telah dikenal pasti namun pengumuman rasmi akan dibuat kerajaan Sarawak.
-UKAS