Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • JENAYAH
  • SPRM mulakan siasatan isu tatakelola, ketidakaturan kewangan UKM minggu depan
  • JENAYAH

SPRM mulakan siasatan isu tatakelola, ketidakaturan kewangan UKM minggu depan

Utusan Sarawak 4 hours ago

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memulakan siasatan awal pada minggu hadapan berhubung isu tatakelola dan ketidakaturan pengurusan kewangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026.

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan siasatan itu bagi meneliti sama ada wujud kelemahan dalam tadbir urus atau unsur jenayah rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan serta pelanggaran undang-undang di bawah bidang kuasa suruhanjaya berkenaan.

“Suruhanjaya ingin menegaskan bahawa siasatan dijalankan secara profesional, bebas dan berlandaskan undang-undang tanpa prejudis terhadap mana-mana pihak.

“Tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya terdapat bukti berlakunya kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 atau undang-undang lain yang berkaitan,” menurut kenyataan itu.

SPRM turut menegaskan komitmennya untuk memastikan setiap dana awam diurus secara telus, berintegriti dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat serta mengekalkan kepercayaan terhadap institusi pendidikan tinggi negara.

Pada 23 Februari lepas, LKAN 1/2026 mendedahkan UKM berdepan ketakteraturan serius dan pelanggaran tatakelola dalam kutipan hasil yuran pelajar dan perbelanjaan di universiti itu yang tidak mematuhi undang-undang serta peraturan kewangan. 

Menurut laporan itu, kutipan hasil dibuat oleh pihak tidak diberi kuasa iaitu Koperasi B-5-1788 bagi yuran pelajar berjumlah RM50.74 juta, merangkumi Sarjana Pendidikan (SPEND) RM3.53 juta dan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) RM47.21 juta.

Selain itu, hasil yuran pelajar sebanyak RM32.36 juta yang diagihkan kepada Koperasi B-5-1788 termasuk RM0.87 juta diterima oleh UKM melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan eKewangan tidak direkodkan sebagai hasil yuran pelajar UKM.

Laporan itu menyatakan agihan yuran yang dikutip daripada pelajar SPEND dan DPLI oleh Koperasi B-5-1788 berjumlah RM21.02 juta, lewat diserahkan kepada pihak UKM antara 31 hari hingga 291 hari. – Bernama

Continue Reading

Previous: Tujuh individu ditahan berkaitan kes tembak kenderaan komander AKPS
Next: Polis nafi dakwaan terima rasuah seperti dalam video tular

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.