

BINTULU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bintulu berjaya menumpaskan kegiatan kecurian barangan runcit di pasar raya di daerah ini selepas menahan dua lelaki warga tempatan dalam operasi berasingan.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Nixon Joshua Ali berkata, tangkapan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu hasil risikan dan maklumat yang diterima berhubung kejadian kecurian berkenaan.
Menurutnya, polis turut menemui semula barangan yang dilaporkan hilang selepas salah seorang suspek membawa anggota polis ke satu bilik sewa di kawasan bandar Bintulu.
“Siasatan mendapati suspek menyasarkan barangan runcit dan keperluan harian sebelum keluar dari premis tanpa membuat bayaran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, semakan rekod lampau mendapati salah seorang suspek mempunyai tiga rekod kesalahan berkaitan dadah di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kedua-dua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta denda jika sabit kesalahan.
Tambahnya, pihak polis sedang mengesan seorang lagi individu yang dipercayai turut terlibat dalam kes tersebut.
Sehubungan itu, pengusaha premis perniagaan diingatkan supaya meningkatkan kawalan keselamatan dan segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu mencegah jenayah harta benda di daerah ini.
Oleh Carolyne Utih