Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEKNOLOGI
  • PGA Briged Sarawak cipta sensor kesan kepala air sehingga lima kilometer
  • TEKNOLOGI

PGA Briged Sarawak cipta sensor kesan kepala air sehingga lima kilometer

Utusan Sarawak 13 hours ago
 KOMANDER Briged Sarawak, SAC Lim Bak Phai (kiri) meneliti komponen sensor pengesan kepala air yang dibangunkan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak, sambil diperhatikan Timbalan Komander Briged Sarawak, ACP Rosdi Inai (kanan), dalam sesi taklimat dan demonstrasi sistem berkenaan di Kuching.

KUCHING: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak berjaya membangunkan sensor pengesan kehadiran kepala air yang mampu mengesan fenomena itu dari jarak sehingga lima kilometer.

Menurut kenyataan media PGA Briged Sarawak, inovasi tersebut dibangunkan sepenuhnya oleh anggota briged itu sendiri termasuk dari aspek pengekodan, algoritma pengesanan dan atur cara sensor tanpa melibatkan kepakaran luar.

“Fenomena kepala air lazimnya berlaku secara tiba-tiba akibat hujan lebat di kawasan hulu sungai dan kebiasaannya amaran hanya dikeluarkan selepas arus deras melanda kawasan hilir ketika mangsa mungkin telah dihanyutkan atau kerosakan telah berlaku,” menurut kenyataan itu.

KOMANDER Briged Sarawak, SAC Lim Bak Phai (kiri) meneliti komponen sensor pengesan kepala air yang dibangunkan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak, sambil diperhatikan Timbalan Komander Briged Sarawak, ACP Rosdi Inai (kanan), dalam sesi taklimat dan demonstrasi sistem berkenaan di Kuching.

Katanya, situasi berkenaan boleh menyebabkan kehilangan nyawa, mangsa dihanyutkan jauh dari lokasi asal, kerosakan harta benda serta risiko tinggi kepada pengunjung kawasan riadah dan perkampungan berhampiran sungai.

Menurut kenyataan sama, sensor yang dibangunkan itu mampu mengesan perubahan mendadak paras air, tekanan serta gelombang arus sehingga lima kilometer sebelum kepala air tiba di kawasan berisiko.

“Dengan pengesanan awal ini, amaran boleh dikeluarkan lebih awal bagi membolehkan orang ramai menyelamatkan diri sebelum kepala air sampai ke lokasi titik panas,” jelasnya.

Selain itu, sistem berkenaan turut berupaya mengesan dan mengira kelajuan pergerakan kepala air melalui analisis data perubahan paras air dan tekanan pada beberapa titik sensor.

“Melalui analisis tersebut, sistem boleh menganggarkan kelajuan arus deras, meramal tempoh masa ketibaan ke kawasan tertentu serta menentukan tahap risiko berdasarkan kelajuan dan kekuatan aliran,” menurut kenyataan itu lagi.

Tambahnya, kepala air yang bergerak dengan kelajuan tinggi memberi tempoh tindak balas yang lebih singkat, justeru data kelajuan yang tepat membolehkan amaran lebih spesifik dan tersasar mengikut zon risiko dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa sensor berkenaan direka untuk berfungsi dalam pelbagai keadaan muka bumi termasuk kawasan berbukit, laluan sungai pedalaman, hutan tebal serta penempatan terpencil.

“Lebih signifikan, sistem ini tidak bergantung sepenuhnya kepada capaian internet sebaliknya mampu beroperasi secara autonomi menggunakan sistem komunikasi alternatif dan penghantaran isyarat jarak jauh yang sesuai untuk kawasan tanpa liputan rangkaian,” jelasnya.

Menurut PGA Briged Sarawak, pembangunan sensor tersebut memberi fokus kepada usaha mengurangkan risiko kehilangan nyawa, mengelakkan kemalangan jiwa, meminimumkan kerosakan harta benda serta meningkatkan keberkesanan sistem amaran awal bencana, sekali gus berpotensi menjadi penanda aras baharu dalam sistem amaran awal di negara ini.

Tags: Teknologi

Continue Reading

Previous: Croatia perkenalkan robot inovatif ‘Tonka’

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.