SIMANGGANG: Tindakan yang dilakukan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk tidak membantu kempen calon dari Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 Sabah baru-baru ini adalah merupakan tindakan yang tepat.
Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata ia adalah kerana Kerajaan Sarawak tidak mahu pandemik Covid-19 menular di negeri ini seperti yang berlaku di Sabah Negeri Di Bawah Bayu itu pada masa ini.
Sebaliknya menurutnya lagi pemimpin dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) pernah mempersoalkan kenapa Kerajaan serta pemimpin GPS tidak membantu calon-calon dari PN di Sabah, beliau memberi jawapan itu adalah ‘kerja gila’ dan tindakan itu akan bakal mengundang penularan Covid-19 di Sarawak.
“Ada pemimpin DAP sebelum ini pernah bertanya kenapakah Kerajaan GPS serta pemimpinnya tidak membantu calon-calon PN pada pilihanraya di Sabah, saya kata mereka itu sudah ‘gilakah’, mereka mahu bawa balik Covid-19 itu ke Sarawak..?
“Pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) amnya, memang tidak ada hati untuk Sarawak, mereka seperti tidak sayangkan rakyat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Jambatan Gantung Rumah Japing, Nyakai Baroh dekat sini kelmarin.
Sim berkata Kerajaan Sarawak memutuskan untuk tidak membantu calon-calon PN pada pilihanraya di Sabah baru-baru ini, dengan memikirkan keutamaan keselamatan dan kepentingan rakyat Sarawak serta tidak berpolitik setiap masa.
“Keselamatan serta kepentingan rakyat di Sarawak terus menjadi keutamaan Kerajaan GPS, kita tidak berterusan berpolitik sepanjang masa, seperti seperti mana dalam motto GPS ‘Sarawak First’.
“Kita lihat saja selepas dua hari pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sabah, Kerajaan Sarawak dengan tindakan segera mengambil langkah tegas dengan melarang semua warga Malaysia dan bukan warga negara yang berada di Sabah dan Labuan daripada memasuki negeri ini dalam tempoh dua minggu.
“Begitu juga tindakan dengan memperketatkan kemasukan warga negara asing dari pos-pos kawalan sempadan untuk melindungi negeri ini daripada terus menerima masuk kes import dari luar Sarawak.
“Ini menunjukkan bahawa Kerajaan Sarawak pimpinan GPS terbukti sayang kepada rakyatnya dengan melindungi dan mengawal keselamatan Sarawak daripada penularan Covid-19 memasuki ke negeri ini, tidak seperti PH, DAP amnya tidak ada hati untuk Sarawak,” ujar beliau.
Sim menambah bahawa kepimpinan GPS akan terus berkhidmat dan menjaga rakyat dan bukannya untuk kepentingan peribadi, dengan hanya kepentingan negeri sahaja yang akan diutamakan.
Turut hadir Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis, Pengarah Unit Perancang Negeri, Dr Abdullah Zaidell, Residen Sri Aman, Indit Bangai, Pegawai Daerah Sri Aman, Mohd Ashree Wee dan Tuai Rumah Japing Nyakai Baroh Japing Anak Gema.
Oleh Adi Safarman