
KUCHING: Bintulu Port Holdings Bhd mencatatkan keuntungan bersih RM26.56 juta untuk suku keempat tahun kewangan 2025 selepas disokong oleh pengeluaran gas asli cecair (LNG) dan aktiviti kargo pukal yang lebih kukuh.
Kumpulan itu melalui satu kenyataan hari ini berkata ia menyaksikan peningkatan sederhana sebanyak 0.56 peratus dalam hasil operasi kepada RM221.19 juta pada suku keempat tahun kewangan 2025 berbanding hanya RM219.96 juta dalam suku yang sama tahun sebelumnya.
Bintulu Port turut mengisytiharkan dividen satu peringkat lima sen sesaham yang perlu dibayar menjelang 17 April, menjadikan jumlah dividen yang diumumkan setakat ini sebanyak 15 sen sesaham bagi tahun kewangan 2025.
Peningkatan kali ini telah didorong terutamanya oleh prestasi yang lebih mantap di Pelabuhan Perindustrian Samalaju, yang mana pendapatannya menokok 7.04 peratus kepada RM42.86 juta daripada RM40.04 juta.
“Hasil daripada kemudahan pukal juga bertambah sebanyak 11.58 peratus kepada RM13.52 juta, berbanding RM12.11 juta yang direkodkan semasa suku yang sama tahun lepas. Bagaimanapun, hasil dari Bintulu Port menurun 1.78 peratus kepada RM164.82 juta, mencerminkan sumbangan yang lebih lemah pada suku tersebut,” kata kenyataan itu.
Walaupun prestasi hasil agak stabil, keuntungan selepas cukai bagi suku keempat tahun kewangan 2025 menyusut kepada RM26.56 juta daripada RM40.88 juta susulan kenaikan dalam perbelanjaan operasi khususnya yang terkait dengan gaji, kos pembaikan dan penyelenggaraan serta kos pentadbiran.
“Dengan ini, perolehan sesaham untuk suku itu adalah berjumlah 5.77 sen daripada 8.88 sen pada suku yang sama tahun lalu,” kata kumpulan itu.
Bintulu Port berkata untuk tahun penuh 2025, kumpulan itu menjana RM822.15 juta hasil operasi berbanding RM828.30 juta yang dicapai pada tahun sebelumnya.
LNG kekal menjadi penyumbang hasil utama, manakala operasi Samalaju, kontena dan aktiviti kargo pukal menyediakan sokongan kepelbagaian.
“Kumpulan itu mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM121.89 juta, diterjemahkan kepada pendapatan sesaham 26.50 sen, manakala pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan kekal mantap pada RM419.66 juta.
“Walaupun dividen sesaham kekal konsisten dari tahun ke tahun pada 15 sen, pembayaran sebanyak RM69.00 juta mewakili bahagian pendapatan yang lebih tinggi pada tahun kewangan 2025, menekankan komitmen berterusan kumpulan terhadap pulangan pemegang saham,” katanya.- Bernama