Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Calon Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat
  • KOLUMNIS

Calon Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat

Utusan Sarawak 8 hours ago

JAWATAN Ketua Pembangkang bukan sekadar ‘gelaran’ di bangku kiri Dewan Rakyat. Dalam sistem Parlimen, ia adalah posisi strategik yang menguji kewibawaan blok pembangkang, mengawal disiplin Ahli Parlimen, memimpin naratif semak imbang, mematahkan hujah kerajaan secara berfakta, serta pada masa sama mempamerkan kebolehan mentadbir jika ditakdirkan memegang kuasa.

Sebab itu, perbincangan mengenai calon Ketua Pembangkang bagi Perikatan Nasional (PN) tidak harus dilihat sebagai perebutan individu, tetapi sebagai isyarat arah tuju, keseimbangan kuasa, dan ‘kesediaan kerajaan menanti’ dalam kalangan pembangkang lebih-lebih lagi selepas PN melantik Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi baharu gabungan itu pada 22 Februari 2026.

Kriteria idaman

Pada asasnya, Ketua Pembangkang yang berkesan perlu memiliki tiga kriteria besar.

Pertama, kecekapan institusi, iaitu memahami peraturan mesyuarat, keutamaan usul, strategi soal jawab, bacaan rang undang-undang dan kerja jawatankuasa.

Kedua, autoriti politik iaitu mampu menyatukan pelbagai fraksi pembangkang tanpa menimbulkan rasa ‘dipinggirkan’.

Ketiga, kebolehterimaan awam, iaitu pembangkang tidak hidup hanya di gelanggang penyokong tegar dan perlu membina keyakinan pengundi atas pagar dan segmen sederhana yang menilai kematangan, kesantunan, serta kebolehan berwacana.

DATUK Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Pengerusi baharu gabungan Perikatan Nasional (PN).

Dalam konteks itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilihat calon sesuai untuk jawatan Ketua Pembangkang. Beliau mempunyai pengalaman lebih luas di peringkat Persekutuan, berlatarkan undang-undang, serta mendalami selok-belok Parlimen yang memberinya kelebihan taktikal dalam perbahasan dan rundingan rentas parti.

Yang lebih penting, imej beliau yang sederhana dan pragmatik menjadikannya lebih mudah diterima oleh komponen dalam PN tanpa mencetuskan ketegangan dalaman.

Ini bukan soal karisma semata-mata, ini soal ‘fungsi’. Ketua Pembangkang yang berfungsi ialah pemimpin yang tahu membezakan antara retorik untuk galeri dan strategi untuk menang undi di Parlimen termasuk masa perlu menyerang, ketika perlu berkompromi, dan detik perlu menawarkan alternatif dasar yang meyakinkan.

Pengurusan kerjasama

Satu lagi faktor yang menguatkan kes Takiyuddin ialah realiti pengurusan kerjasama. PN bukan parti tunggal, sebaliknya satu gabungan yang memerlukan penyelarasan emosi, kepentingan dan ‘ego’ politik.

Ketua Pembangkang yang terlalu ‘berpusat pada persona’ mudah mencetuskan kecemburuan dalaman akhirnya melemahkan kesatuan blok pembangkang sendiri.

Takiyuddin, dengan profil yang lebih teknokratik dan tidak terlalu populis, berpotensi menjadi ‘penyambung hayat’ antara PAS, Bersatu dan komponen lain, tegas pada prinsip, tetapi tidak meletup dalam gaya.

Calon lain

Bagaimana pula dengan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man? Sebagai tokoh PAS yang berpengalaman, beliau mempunyai kelebihan dari segi senioriti dan autoriti parti.

DATUK Seri Takiyuddin Hassan dilihat calon sesuai untuk jawatan Ketua Pembangkang.

Namun cabarannya ialah membina kebolehterimaan merentas fraksi dan merentas parti dalam PN terutama apabila jawatan Ketua Pembangkang menuntut mobilisasi semua komponen, bukan hanya satu parti.

Dalam suasana politik semasa yang sensitif, Ketua Pembangkang bukan sahaja perlu kuat di kalangan akar umbi Melayu-Islam, tetapi juga perlu tidak menutup pintu komunikasi dengan pengundi bandar dan bukan Melayu yang menilai bahasa, pendekatan dan keupayaan berbahas secara dasar.

Sementara itu, Samsuri wajar menumpukan sepenuh perhatian kepada peranan baharunya sebagai Pengerusi PN. Pelantikan beliau sebagai pengerusi sendiri membawa beban besar meliputi mengurus strategi gabungan, menyelaraskan persiapan PRU, menutup lompong komunikasi antara parti, serta menstabilkan semula PN pasca-peralihan kepimpinan.

Jika eletakkan Samsuri sebagai Ketua Pembangkang pada waktu yang sama boleh menyebabkan dua risiko.

Pertama, fokus pecah kepada urusan harian Parlimen yang meletihkan tiga tugas (termasuk sebagai Menteri Besar Terengganu), kedua, berlaku kekeliruan peranan antara ‘ketua operasi Parlimen’ dan ‘ketua strategi gabungan’.

Peranan Hadi Awang

Namun, di sinilah wujud pengecualian yang signifikan. Jika Tan Sri Abdul Hadi Awang benar-benar mahu menyerlahkan Samsuri sebagai calon Perdana Menteri PN, maka melantik Samsuri sebagai Ketua Pembangkang ialah pentas paling cepat untuk membuktikan beliau bukan sekadar pemimpin negeri tetapi mampu berfungsi di peringkat nasional.

PELUANG Datuk Seri Hamzah Zainuddin untuk kekal sebagai Ketua Pembangkang dilihat semakin tipis.

Pelantikan sebegitu akan menjadi ‘ujian terbuka’ dan Samsuri perlu mengemudi sesi Parlimen, menonjolkan kepimpinan idea, serta menunjukkan beliau boleh berhadapan dengan Perdana Menteri dan kabinet secara konsisten.

Dengan kata lain, jika PN mahu membina ‘poster boy’ nasional, jawatan Ketua Pembangkang ialah gelanggang yang paling nyata.

Isu paling hangat, tentunya, ialah nasib Datuk Seri Hamzah Zainuddin. Secara prinsip, peluang Hamzah untuk kekal sebagai Ketua Pembangkang dilihat semakin tipis kerana dinamika kuasa dalam PN sedang bergerak dan PAS mahu menegaskan kedudukan sebagai ‘abang besar’, manakala Bersatu pula sedang melalui fasa penyusunan semula dan pertikaian dalaman.

Spekulasi nasib Hamzah

Tetapi politik jarang segaris. Hamzah Zainudin boleh kekal jika wujud beberapa faktor kukuh, pertama, faktor status quo institusi iaitu sehingga Dewan Rakyat menerima notis rasmi perubahan, Hamzah kekal sebagai Ketua Pembangkang buat masa ini.

Ini bukan spekulasi tetapi telah disebut secara terbuka bahawa tiada pemberitahuan rasmi diterima untuk menukar jawatan tersebut. Dalam politik pakatan politik, ruang masa seperti ini sering digunakan untuk tawar-menawar dalaman.

Kedua, faktor konsesi dan isyarat perpaduan, Hadi Awang mungkin memilih mengekalkan Hamzah sebagai isyarat mesra dan damai kepada kelompok Hamzah yang masih mempunyai pengaruh dalam kalangan Ahli Parlimen serpihan Bersatu yakni strategi meredakan gelombang ‘pecah tambah pecah’ yang melemahkan pembangkang.

Ketiga, faktor mesej dominasi PAS, ironinya, mengekalkan Hamzah juga boleh menjadi cara PAS menekan Tan Sri Muhyiddin Yassin seolah-olah memberi isyarat bahawa PAS boleh menentukan jawatan penting walaupun ia melibatkan tokoh Bersatu, sekali gus menonjolkan bahawa PAS kini lebih menentukan dalam hierarki PN. 

Keempat, faktor keperluan taktikal Parlimen dan Hamzah mempunyai pengalaman mengurus jentera politik dan komunikasi yang agresif berguna jika pembangkang mahu menyerang kerajaan pada isu kos sara hidup, integriti dan kelemahan pentadbiran.

Tetapi kekuatan ini hanya berfungsi jika beliau masih memiliki autoriti dalam gabungan dan tidak dilihat sebagai simbol pergaduhan dalaman.

Jika imej beliau lebih banyak dikaitkan dengan krisis dan perebutan kuasa, kelebihan taktikal itu boleh menjadi liabiliti kerana pembangkang tampak tidak stabil.

Akhirnya, PAS perlu melihat persoalan ini secara lebih strategik, iaitu kepimpinan yang kuat bukan bermaksud satu tokoh memegang semua peranan.

PAS wajar mempelbagaikan peranan dalam kalangan kepimpinannya untuk memperluas pengalaman pentadbiran dan pendedahan dasar sebagai persediaan jika berpeluang membentuk Kerajaan Persekutuan pada masa hadapan.

Inilah logik pembinaan ‘bench strength’ apabila seorang menjadi Ketua Pembangkang, seorang mengemudi strategi gabungan, seorang lagi memperkukuh jaringan masyarakat, dan yang lain mengasah kemampuan dasar dalam portfolio bayangan.

Tanpa kepelbagaian peranan, PN akan berulang-ulang terperangkap dalam kitaran yang sama, iaitu kuat pada gelombang emosi, lemah pada seni mengurus kerajaan.

Rumusan

Maka sekiranya PN mengutamakan fungsi Parlimen dan kestabilan gabungan, Takiyuddin ialah pilihan paling ‘selamat dan berkesan’ untuk Ketua Pembangkang.

Jika PN mengutamakan pembinaan calon PM nasional yang mahu diuji di pentas Persekutuan, Samsuri boleh dipertimbangkan tetapi dengan risiko fokus dan beban berganda.

Jika Hamzah kekal, ia bukan kerana tiada pilihan, tetapi kerana wujud perkiraan politik kuasa, menenangkan fraksi, mengekalkan imbangan PAS–Bersatu, dan memanjangkan rundingan dalaman sehingga gabungan benar-benar sepakat.

Dalam politik, jawatan Ketua Pembangkang bukan semata-mata siapa yang paling popular tetapi siapa yang paling mampu membuat pembangkang kelihatan siap sedia untuk mentadbir dan dihormati lawan dan kawan politik!Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah ahli akademik di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau kini ialah Majlis Penasihat Perpaduan Negara dan Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia.

Tags: Dr Awang Azman

Continue Reading

Previous: Perkembangan Islam di Sarawak era British

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.